MENEROKAI HUTAN SINTOK DENGAN KUASA 4X4

on .

PPA UUM CAS ONLINE: ‘Pengalaman dan cabaran yang pasti tidak dapat dilupakan’ itulah antara kata-kata yang diluahkan oleh staff PPA CAS di dalam Program Kembara Hijau Sintok 4x4 yang diadakan pada 28 Mac 2017 yang lepas.  Di dalam program ini, seramai 12 orang staff PPA CAS telah menyertai ekspedisi meredah hutan Sintok untuk menerokai keindahan alam flora dan fauna dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda 4x4 dengan kerjasama Kelab 4x4 Sintok dan Kelab Pajero Jitra 4X4. Objektif program hijau ini ialah untuk mendidik para peserta akan kepentingan menjaga hutan, sentiasa melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang dan untuk mengeratkan hubungan semasa peserta.

Program ini bermula pada jam 9.15 pagi selepas mendengar taklimat mengenai ekspedisi daripada pengerusi Kelab 4x4 Sintok; En. Tarmizi Musa dan ucapan dari Dekan Pejabat Pembangunan Pelajar & Alumni, UUM CAS, Dr. Massudi Mahmuddin. Semasa pengembaraan, semua peserta berpeluang melihat keindahan hutan sebenar Sintok yang sebelum ini hanya menjadi bualan di bibir mulut tentang kewujuduan hutan Sintok. Apa yang lebih menyeronokkan ialah peluang untuk melihat dan merasai pemanduan kederaan 4x4 dengan laluan yang tidak dijangka akibat hujan lebat sehari sebelum dan sebelah malamnya. Semasa ekspedisi tersebut, terdapat banyak halangan yang perlu ditempuh yang memerlukan kerjasama di antara semua peserta seperti menolak kereta yang tersekat, memotong pokok yang tumbang dan memikirkan strategi untuk melepasi halangan terutamanya ketika melalui laluan “v-slope”. Ketika di dalam hutan, usah ditanya berapa ekor pacat yang hinggap di kaki peserta, semua dilupakan kerana kegembiraan dan kepuasan selepas merentasi segala halangan.

Secara keseluruhannya, ekspedisi ini hanya melibatkan 14 km namun begitu ia mengambil masa lebih daripada 4 jam untuk tiba di destinasi. Mengikut perancangan, laluan yang sepatutnya ditempuh adalah lebih panjang tetapi disebabkan kesuntukan masa dan masalah teknikal kereta, ia terpaksa berakhir lebih awal. Sebelum tamat, semua peserta berkelah makan tengah hari di tepi tasik UUM sambil menikmati pemandangan yang indah.