PROGRAM TEAMBUILDING KEMBARA ALAM JERAI 2017

on .

DERUAN AIR TERJUN SERI PERIGI MENJADI SAKSI KEUTUHAN IKATAN UKHUWAH WARGA PUSAT PENGAJIAN BAHASA, TAMADUN DAN FALSAFAH (SLCP), UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Curahan air terjun yang memutih mengalir deras di celahan batu-batu, membuatkan mata terpaku dengan keindahan alam ciptaan Allah S.W.T. Air terjun Seri Perigi seakan-akan memanggil para pengunjung untuk singgah ke situ menikmati deruan air terjunnya yang dikatakan antara yang tertinggi di negeri Kedah. Mempunyai ketinggian 100 meter, air terjun Seri Perigi merupakan antara kawasan perkelahan popular.

Keindahan flora dan fauna yang masih belum terusik, kawasan ini juga merupakan kawasan yang ideal untuk mengadakan program yang berbentuk teambuilding. Landskap yang menarik di kawasan ini yang dikelilingi sawah padi, serta berlatar belakangkan keindahan Gunung Jerai menjadikan trek Seri Puteri menjadi pilihan warga SLCP untuk merealisasikan program teambuilding Kembara Alam – Jerai pada 6 April 2017.

Program Kembara Alam Jerai bertujuan mewujudkan persefahaman dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga SLCP. Diketuai oleh Dekan, Prof Madya Dr Kamarudin bin Ahmad dan 60 orang staf pentadbiran dan akademik, perjalanan dimulakan seawal jam 7 pagi. Pengarah program, Dr Mohd Nidzho Bin Abdul Rahman melahirkan rasa kesyukuran kerana cuaca telah mengizinkan kami untuk menerokai keindahan Jerai. Pada awal pendakian, pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa di hadapi. Namun, berkat ketabahan dan kerjasama yang erat  dalam kalangan warga SLCP segala rintangan ditempuhi dengan berani.