PECINTA ALAM CARI DAMAI DI HUTAN SINTOK - KAYA KHAZANAH FLORA FAUNA

on .

UUM ONLINE: Semakin jauh menyelusuri belantara, hati terpesona menikmati keindahan alam semulajadi yang kaya dengan khazanah flora fauna sambil mendengar kicauan merdu burung, unggas, cengkerik, deruan air ibarat alunan muzik yang mendamaikan.

Meredah hutan beramai-ramai amat mengujakan walaupun terpaksa menempuh laluan berbukit, lumpur, denai, batu dan cerun, namun tidak menghalang staf UUM membuktikan rasa sayang terhadap universiti ini sempena sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) kali yang ke-34 dalam Hutan Sintok UUM.

Pengerusi projek, Mohd Tarmizi Musa berkata, seramai 150 staf UUM telah menyertai ‘Appreciate The Nature – 15km Jungle Treking Dalam Hutan Simpan UUM’ anjuran bersama Jabatan Canselori dengan Kelab UUM4x4Sintok.

Menurutnya, program itu menyatukan individu yang berminat untuk menjalankan aktiviti lasak dan menjadi medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, sekali gus memperkenalkan Kelab UUM4x4Sintok kepada warga kampus.

“Ekspedisi ini bertujuan untuk memberi peluang kepada warga UUM melihat sendiri flora fauna dengan membawa mereka ke tempat yang tidak pernah dilawati seperti Air Terjun Sintok, Tasik Sintok.

 

“Perjalanan sejauh 15 kilometer melalui Hutan Simpan UUM bermula di Padang Golf UUM, Sungai Badak, Pokok 3 Beradik hingga ke surau perumahan kakitangan UUM memang mengujakan walaupun masing-masing keletihan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nizwan Awang berkata, ekspedisi tersebut menguji ketahanan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran terutamanya di Bukit Dagu dan Bukit W yang sangat curam sehingga mereka terpaksa merangkak untuk mendakinya, selain cerun yang  curam dan laluan berbatu. 

“Saya memang sukakan cabaran dan ingin mencuba sesuatu yang baharu dan tidak sangka trek yang ada di sini begitu mencabar.

“Penat memang penat, tetapi dengan semangat berpasukan semua halangan diatasi dengan mudah dan sepanjang ekspedisi ini terserlah sikap setiakawan, berdikari, disiplin, ketahanan jiwa dan sabra,” ujarnya yang terpana melihat panorama hijau seperti tasik dan air terjun yang sangat cantik sambil hati bertasbih memuji kebesaran-Nya.

Manakala Mohd Badrilah Shaari mengulas, ekspedisi ini sebagai satu kepuasan untuk mencabar diri dan membentuk staf menjadi cekal, sabar dan pandai berdikari di samping menyihatkan badan dan merehatkan minda.

“Aktiviti santai ini sungguh menyeronokkan kerana dapat menghilangkan tekanan selepas bekerja, merehatkan otak, fizikal cergas mental cerdas untuk menjana produktiviti di samping menguji daya fokus dan semangat berpasukan.  

“Program ini sebagai simbolik melahirkan rasa cinta pada UUM, beramah mesra secara santai semangat setia kawan dan kerja berpasukan sekali gus mengeratkan silaturahim di kalangan staf,” ulasnya.

Seorang lagi peserta, Mohd. Raime Ramlan menyifatkan ekspedisi ini memupuk budaya cintakan alam dan memberi kesedaran tentang pentingnya kebersihan dan penjagaan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.

Ujarnya, Sintok yang memiliki khazanah alam terutamanya spesis flora dan fauna yang semakin pupus sekali gus meningkatkan pengetahuan herba yang terdapat di Sintok. 

“Banyak ilmu yang ditimba apabila memperkenalkan tumbuh-tumbuhan terutamanya Tongkat Ali, Tunjuk Langit dan pokok Sintok yang namanya diabadikan di sini serta penerangan tentang khasiat pokok yang baik untuk kesihatan.    

“Program ini menerapkan nilai-nilai murni dalam diri peserta dan rasa syukur di atas rahmat, kesejahteraan dan rezeki yang dikurniakan Ilahi selain memupuk semangat kesefahaman dan setiakawan,” katanya.