KOMUNITI: KERINGAT ‘HERO’ YANG TIDAK DIDENDANG

on .

Mungkin ada yang beranggapan kerja sebagai tukang cuci adalah kasta rendah, namun peranan mereka juga penting bagi memastikan kebersihan setiap kawasan adalah terjamin, selesa dan selamat digunakan. Begitu juga bagi pekerja pembersihan di UUM khususnya yang bertanggungjawab menjaga kebersihan di Welcome Centre atau Anjung Tamu. Mereka menjalankan tugas dan amanah sebaiknya sehingga membolehkan UUM menerusi Welcome Centre dinobatkan sebagai Pemenang Kedua Kategori IPTS/IPTS sempena Pertandingan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 yang diumumkan baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut dikongsikan bersama tiga staf pembersihan dari UPSB yang telah bersara pada November yang lalu iaitu Minah Wi, Abdul Senik dan Zainol Idris ketika menghadiri Majlis Penghargaan dan Perpisahan anjuran UUM Corporate Communication, baru-baru ini.

Khidmat mereka selama 20 tahun banyak meninggalkan impak kepada UUM dan tidak dinafikan kejayaan yang dikecapi itu perlu dibanggakan dan pasti akan dikenang.

Minah Wi atau lebih mesra dipanggil Maksu berkata, kejayaan tersebut adalah hasil titik peluh bersama rakan-rakan sekerja yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua bukan satu kejayaan yang mudah dicapai tanpa mereka yang banyak membantu termasuk staf di Welcome Centre. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana sempat memberi khidmat terakhir terhadap UUM sebelum saya bersara.

“Sejak penularan Covid-19, tugas semakin bertambah namun tetap dilaksanakan dengan sebaiknya dan teliti bagi mengelak penularan atau jangkitan berlaku,” katanya.

Tambahnya, dia akan memastikan sekitar Welcome Centre berada dalam keadaan bersih dan bersyukur kudratnya masih ada ketika menjalankan tanggungjawab tersebut sebelum bersara.

Sementara itu, Tok Don atau nama sebenar Abdul berkata, diberi tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keindahan di Welcome Centre bersama yang lain memberikan pengalaman berharga kepadanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk berkhidmat bersama UUM dan UPSB ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagi Zainol pula, selaku Penyelia Pembersihan di Welcome Centre yang turut dikenali sebagai kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di UUM ini, menjaga kebersihan sudah menjadi sebahagian iman dan semua orang perlu menjaga kebersihan walau di mana jua berada termasuk menjaga kebersihan diri.

“Apabila dimaklumkan tandas awam Welcome Centre menerima pengiktirafan tersebut, saya tumpang gembira kerana tidak sia-sia kerja kami semua menjaga kebersihan dan keindahan bukan semata-mata untuk menang tetapi sebagai langkah mencegah sebarang penyakit jika berada dalam keadaan kotor.

“Saya berharap agar keadaan pandemik ini dapat dipulihkan dan orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.

Mereka bertiga mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga UUM yang banyak membantu dan memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas. Harapan mereka agar UUM akan terus mengorak langkah menuju kecemerlangan di masa hadapan berteraskan slogan Ilmu, Budi, Bakti.

 

Oleh: Mohd Hakimi Mohd Ruzlan (Pelajar Pelatih dari SBM)
Gambar oleh: Hasliza Hassan dan Abdul Halim Husain
Sumber: UUM Corporate Comm