RIMC JOM FIT GALAK STAF AMAL GAYA HIDUP SIHAT

on .

Kelab Kebajikan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) telah menganjurkan Program RIMC Jom Fit yang berlangsung di Kompleks Pusat Sukan UUM, baru-baru ini. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad berkata, kesihatan tubuh badan sangat penting untuk stamina diri. Menurutnya, penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat harus bermula sejak usia muda lagi.

“Buat pemeriksaan kesihatan secara berkala kerana penyakit adalah pembunuh senyap sekiranya kita tidak tahu status kesihatan semasa kita.

“Tambahan pula kini negara dilanda penularan wabak Covid-19 yang memerlukan kita sentiasa menjaga kesihatan diri dan patuh pada SOP ketika melakukan aktiviti riadah dalam norma baharu,” katanya yang turut menyertai RIMC Jom Fit.

Beliau turut teruja bermain badminton dan ping pong bersama staf RIMC kerana dapat meluangkan masa beriadah di sebalik kesibukan tugas.

Sementara itu, Pengarah RIMC, Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf berkata, program itu merupakan satu usaha RIMC untuk menggalakkan semua staf memanfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti riadah.

“Mulakan langkah pertama dengan berjalan kaki walaupun aktiviti ini kelihatan biasa, namun itulah usaha mudah untuk kita mengekalkan kesihatan jantung yang penting, beriadah perlu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

 

Oleh: Norhana Shaibatul Khadri
Gambar oleh: RIMC
Sumber: UUM Corporate Comm.