SINTOK ADVENTURE TRAIL RUN!

on .

UUM ONLINE: Seramai 380 mahasiswa lari dalam hutan yang menguji kekuatan mental dan fizikal sempena Sintok Adventure Trail Run 2016 di samping merancakkan Discover UUM serta Universiti Di Rimba Hijau.

Menurut Pembantu Belia Dan Sukan, Shukhairy Kamaruzaman, program anjuran Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kelab Kembara itu bertujuan menyihatkan badan sekali gus memupuk budaya cinta alam sekitar.

“Larian ini mempromosikan gaya hidup sihat dengan menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti mencabar selain menjadi terapi kepada peserta merehatkan minda setelah penat belajar dan mengejar dateline,” ujarnya.

 

Katanya, dua kategori yang dipertandingkan iaitu lelaki 15 kilometer dan wanita 10 kilometer dan larian bermula di Pusat Sukan sebelum melalui trek hutan Sintok.

 Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan menyaksikan juara kategori lelaki merangkul RM700 diikuti tempat kedua RM400 dan tempat ketiga RM200, manakala juara kategori wanita membawa pulang RM600, RM300 di tempat kedua dan RM200 tempat ketiga. 

Juara menjadi milik pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Muhammad Taufik Mohd Suhaini, 23, yang bersyukur atas kemenangan yang tidak disangka-sangka.

“Siapa yang tak nak menang, saya target menang tak kisahlah nombor berapa asalkan menang tetapi tak sangka pula dapat tempat pertama,” luahnya.

Sebelum memulakan larian, peserta melakukan senaman pemanasan badan bagi mengelakkan ketegangan otot dan kecederaan semasa berlari, di samping meningkatkan ketahanan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran.

Mengakui menempuh pelbagai cabaran sepanjang perjalanan namun dengan semangat tidak mudah mengalah semua halangan dapat diatasi.

“Saya tidak menghadapi kesukaran pada larian 10 km tetapi masuk 11 km peserta kena merentas hutan dengan laluan berbukit, trek, denai, batu, tanah lembut dan cerun. 

“Lari dalam hutan kena ada skill kerana berdepan dengan trek mencabar tambahan pula hujan renyai-renyai trek menjadi licin dan berselut agak berbahaya jadi saya pijak atas ranting kayu untuk mengelakkan dari terjatuh.

“Semasa dalam hutan tinggal saya berdua (naib juara) akhirnya pecutan dibuat lantas meninggalkannya di belakang dalam menyempurnakan misi merebut kejuaraan!” kongsinya.

Sebelum pertandingan Taufik membuat persediaan menjalani latihan seminggu 4 kali secara konsisten sebelum pertandingan untuk meningkatkan dapatkan stamina.

Manakala Johan kategori wanita, Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Siti Amiera Suhardi, 20, menyertai pertandingan ini sekadar suka-suka untuk beriadah bersama kawan-kawan dan tidak terlalu menaruh harapan untuk menang.

“Bukan senang dapat peluang berlari dalam hutan, detik bersama kawan-kawan   sambil menghirup udara segar menikmati kicauan burung Hutan Sintok, memang best,” ulasnya.

Jelasnya, jauh berjalan ke dalam hutan memerlukan peserta lebih berhati-hati ada peserta yang kepenatan dan di saat mental fizikal semakin lemah urusetia sedia membantu di checkpoint.

“Penat memang penat, tetapi dengan semangat membara semua halangan diatasi dengan mudah dan sepanjang ekspedisi ini terserlah sikap setiakawan, berdikari, disiplin, ketahanan jiwa dan sabar.

Manakala naib juara, Pelajar Sarjana Muda Perakaunan Farah Atika Mohd Yusof, 23, menyifatkan larian ini memupuk budaya cintakan alam sekitar serta memberi pendedahan mengenai kepentingan penjagaan flora dan fauna. 

“Aktiviti santai ini sungguh menyeronokkan kerana dapat menenangkan jiwa, merehatkan minda, fizikal cergas mental cerdas selain berjumpa dengan ramai kenalan dan bertukar pandangan serta menambah pengalaman,” ujarnya.

“UUM sangat cantik dengan landskap semulajadi, memiliki khazanah spesis flora dan fauna terutamanya spesis yang jarang ditemui serta herba yang berkhasiat  sekali gus memberi kesedaran betapa pentingnya penjagaan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama,” ulasnya.

Tambahnya, jika semua pihak berganding bahu menjaga alam sekitar dan usaha pemuliharaan hutan berterusan, kita dapat mewariskan khazanah berharga kepada generasi akan datang sekali gus meningkatkan pengetahuan.