MENGAUM DI HUTAN – SUKAN EKSTREM AJAR BERDIKARI, SETIAKAWAN

on .

UUM ONLINE: Terserempak gajah, tenggelam dalam selut, masak nasi dalam buluh guna air hujan, tayar bocor, moto rosak, minyak habis dalam hutan belantara.

Itu antara detik-detik cemas yang dihadapi Mohd Roqib Chik dan kawan-kawan yang meminati sukan motosikal lasak sejak 15 tahun lalu yang menghimpun pelbagai koleksi pahit manis.

“Sukan motor ekstrem sungguh menyeronokkan walaupun penat tapi berbaloi kerana menyihatkan badan, menghilangkan tekanan, menguji menguji tahap kesabaran yang tinggi selain memupuk budaya cintakan alam,” luah Staf Jabatan Enterprise & Penjanaan Sumber Kewangan.

Jelasnya, suasana alam semulajadi dengan keindahan flora fauna menenangkan fikiran terutamanya Lata Cermin yang menghidangkan pemandangan air terjun tinggi yang memukau. 

“Hidup di hutan serba-serbi kekurangan dan kita perlu bijak mempraktikkan ikhtiar hidup misalnya masak nasi pakai air hujan sebab air sungai kotor, tahan air bumbung khemah, masak nasi dalam buluh.

“Kita sukakan cabaran satu kepuasan untuk melawan ketakutan yang ada dalam diri dan untuk menyertai aktiviti ini stamina perlu kuat dan keyakinan yang tinggi untuk mengendalikan jentera masing-masing.

Rider perlu mengambil langkah keselamatan memandangkan semasa berkonvoi dalam hutan pelbagai cabaran yang ditempuhi seperti laluan berbukit, lumpur, denai, batu, cerun, sungai, pokok tumbang dan binatang buas.

Sepanjang pemanduan peserta berhati-hati mengekalkan jarak selamat, mendengar arahan, kesilapan kecil mengundang padah kerana kiri kanan belukar dan gaung.

“Jangan terlalu ghairah untuk berlawan dalam aktiviti santai, walaupun kita nak berseronok tapi ingat main motor lasak ni sangat bahaya keselamatan amat diutamakan,” katanya.

Pemanduan di cerun bukit agak berbahaya kerana jalan licin akibat hujan, trek curam    ketika itu teknik dan kawalan brek amat penting namun risiko berlanggar sesama sendiri, jatuh dan cedera boleh dielakkan dengan teknik yang betul.

Paling memeritkan apabila melalui jalan bekas kenderaan 4x4 yang berselut sehingga tayar motor tenggelam dan sukar bergerak.

“Jadi untuk mengeluarkannya, kita menggunakan pohon buluh yang memerlukan skil yang sangat tinggi, susah senang kita bersama dengan semangat berpasukan semua halangan dapat diatasi.

“Pernah sekali motor kawan rosak, line telefon pula tak ada, sedangkan perjalanan berbaki 4 jam lagi nasib baik ada pacuan empat roda yang sedia membantu. 

“Ada ketika minyak habis kawan-kawan pakat top-up, tayar bocor pun naik juga, repair enjin motor dalam hutan bayangkan pukul 11 malam dengan tak ada makanan, sejuk, ada kawan-kawan yang jatuh, luka berdarah, patah mujurlah saya setakat luka kecil saja,” luahnya. 

Di sinilah teruji semangat setiakawan yang mengeratkan hubungan silaturahim, menerapkan nilai-nilai murni dalam diri peserta seperti tolong menolong, ketahanan jiwa, pandai berdikari selain memupuk semangat kesefahaman.