CUACA HUJAN TIDAK HALANG STAF PKU KIBAR JALUR GEMILANG

on .

UUM ONLINE: Hujan lebat tidak menghalang staf Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Utara Malaysia (PKUUUM) untuk membuktikan rasa sayang terhadap Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Bukit Bunga Raya, Sintok, baru-baru ini.

Pengarah PKU, Dr Wan Zarina Wan Mahmud berkata, semangat patriotik itu dipamerkan kira-kira 50 staf PKU sebagai tanda cinta kepada Malaysia dalam salah satu aktiviti bulan kemerdekaan.

“Ekspedisi ini menyatukan staf dalam aktiviti yang menyihatkan menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim selain memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri indahnya kehijauan alam sambil mendengar kicauan burung yang mendamaikan.

“Aktiviti santai ini sungguh menyeronokkan kerana dapat merehatkan minda, fizikal cergas mental cerdas untuk menjana produktiviti di samping meningkatkan semangat berpasukan,” ujarnya pada program Kibaran Jalur Gemilang di Puncak Bukit Bunga Raya.   

Jelasnya, pendakian yang bermula jam 8.30 pagi itu berdepan laluan sukar apabila hujan lebat mulai turun membasahi bumi, sekali gus menjadikan laluan pendakian sedikit licin yang memerlukan peserta lebih berhati-hati.

“Namun, ia bukan halangan buat semua peserta apabila masing-masing tetap bersemangat meneruskan pendakian bersama Jalur Gemilang untuk tiba di puncak,” luahnya.

Manakala peserta, Sakinah Sabudin menyifatkan mendaki beramai-ramai suatu pengalaman menarik yang menguji ketahanan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran.

“Penat memang penat namun, kita kena teruskan sehingga ke puncak kerana pendakian ini seolah-olah perjuangan kita dalam mempertahankan maruah negara seperti mana usaha rakyat terdahulu berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

“Berbekalkan semangat berpasukan, sepanjang ekspedisi ini cukup terserlah setiakawan, kerjasama, disiplin dan sabra, akhirnya Jalur Gemilang berjaya dikibarkan di Puncak Bukit Bunga Raya tepat jam 9 pagi,” tambahnya.

Rata-rata peserta melahirkan rasa bangga dan bersyukur dapat menyempurnakan misi merdeka yang ke-61 bertemakan Sayangi Malaysiaku dalam suasana harmoni dan sejahtera.