SAC PUPUK ALAM SEKITAR LESTARI SEMPENA MERDEKA

on .

UUM ONLINE: Pusat Penginapan Pelajar (SAC) menyemarakkan semangat merdeka di kalangan warga kampus dengan memupuk sikap cintakan alam sekitar pada Program Merdeka SAC 2018, semalam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim melahirkan rasa bersyukur dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-61 bertemakan Sayangi Malaysiaku dalam suasana aman harmoni dan muhibah.

“Kalau kita lihat dari segi moto hari merdeka, kita menterjemahkan rasa kasih dan sayang terhadap negara dengan menjalankan aktiviti menjaga alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Antaranya dengan menanam pokok memandangkan UUM mempunyai keindahan flora dan fauna termasuk pelbagai jenis pokok berharga supaya negara kelihatan cantik dan hijau yang mengekalkan alam sekitar yang lestari.

“Pada saya, perasmian taman herba ini merupakan satu cara kita sayang negara yang mana generasi baru tidak akan tengok kalau kita tidak tanam pokok pada hari ini untuk menyimpan anugerah yang tidak ternilai,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Merdeka SAC 2018 di Kebun Merdeka SAC danTaman Herba SAC.

Tambahnya, lukisan mural bendera Malaysia turut menyerlahkan semangat patriotik yang melambangkan kecintaaan kepada negara yang merupakan tanah tumpah darah kita.

Dalam majlis ini Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mohd Dino Khairri Shariffuddin telah menyempurnakan penanaman pokok durian dan manggis yang merupakan acara tradisi SAC setiap kali sambutan merdeka sejak empat tahun yang lalu.

Menurut Pengarah SAC, Noor Azman Yusof, pihaknya mengadakan tiga program kemerdekaan sempena bulan kemerdekaan 2018 yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun.

“Program ini diadakan untuk menyuntik perasaan dan suasana kemerdekaan sebagai rakyat Malaysia serta mewujudkan rasa kekitaan dalam kerja berpasukan sekali gus mengeratkan perpaduan di semua peringkat warga kerja SAC dan INASIS,” luahnya.

Jelasnya, pelbagai acara disediakan bagi memeriahkan majlis antaranya acara tanam pokok di Kebun Merdeka SAC, lukisan mural bendera Malaysia dan Perasmian Taman Herba SAC.

“Hari ini kita telah menzahirkan kecintaan kita terhadap Malaysia melalui aktiviti berbudi pada tanah yang pasti membuahkan hasil,” luahnya.

Dalam pada itu ujarnya, SAC telah menanam 13 jenis pokok buah-buahan seperti cempedak, rambutan, jambu durian, durian belanda, mata kucing selain tumbuhan herba iaitu pokok rerama, belalai gajah, sireh, kunyit dan halia.

“Menyedari hakikat orang dulu-dulu merawat pelbagai penyakit menggunakan herba dari alam semulajadi mendorong SAC menanam herba untuk kegunaan dan tatapan generasi muda yang semakin tidak mengenali tumbuhan berkhasiat untuk kesihatan,” tambahnya.