KONGSI ILMU MELALUI JARINGAN MASYARAKAT BERSAMA PENDUDUK KAMPUNG SUNGAI BADAK

on .

 Berteraskan moto Ilmu, Budi, Bakti, seramai 43 pelajar Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Pengurusan Acara (STHEM) dan staf dari Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengadakan aktiviti jaringan masyarakat dalam Program Kemasyarakatan dan Penghijauan Kampung Sungai Badak, Gurun, baru-baru ini.

Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Marlin Marissa Malek berkata, gandingan usaha itu adalah untuk merealisasikan hasrat ‘reason for existence’ universiti bagi menyumbang kembali kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dengan usaha bersepadu antara staf CUIC dan juga pelajar STHEM.

“Kita memilih kampung ini untuk program kemasyarakatan kerana kampung tersebut aktif dalam pelbagai aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti penyediaan kuih tradisional, penanaman pokok salak dan juga hasil madu kelulut yang boleh dimanfaatkan pelajar dan staf UUM.

“Sepanjang program dua hari ini, pelajar telah ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing terdiri pengusaha homestay yang mana mereka turut berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam ilmu pengurusan homestay,” katanya.

Beliau berkata, pada program itu juga, staf CUIC dan pelajar berganding bahu membantu penduduk kampung dalam penyediaan juadah pada hari tersebut, diikuti kenduri doa selamat dan kesyukuran oleh penduduk kampung.

Selain itu, peserta program turut melaksanakan aktiviti penghijauan dan pembersihan kampung melalui usaha Trash Hero Sintok Chapter yang dipimpin Pengurus Edu-Tourism UUM, Muhammad Fauzi Mokhtar bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Beh Zeng Kang dan Henry.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran pelajar Itali, Martina yang menyertai program pertukaran pelajar di bawah AFS dan telah tinggal di Kedah selama dua tahun bersama keluarga angkat.

Martina yang turut fasih berbahasa Melayu melahirkan rasa gembira dengan kehadiran rombongan UUM ke kampung tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Homestay Kampung Sungai Badak, Said Bakar berkata, beliau berbesar hati dengan kolaborasi itu kerana telah hampir sembilan tahun pihak penduduk kampung tidak melaksanakan aktiviti sebegini bersama warga UUM.

Menurutnya, kali terakhir UUM bekerjasama dalam program ini pada tahun 2010 dan beliau berharap usaha sama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Program itu telah dirasmikan Ahli Parlimen Sungai Petani dan ADUN Gurun, Dato’ Johari Abdul dan turut dihadiri Timbalan Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Lily Julienty Abu Bakar dan Pengerusi Program, Bahagian Jaringan Masyarakat, Suwannit Chareen Chit.