DUA JAM REDAH TREK MENCABAR SEPANJANG 12 KILOMETER

on .

Pecinta alam dan penggemar sukan lasak menyahut cabaran meredah hutan sejauh 12 kilometer (km) dalam Simulasi UUM Rainforest Trail Run yang berlangsung di UUM, baru-baru ini.

Juruteknik Elektrik KTMB, Hairul Johari berkata, larian ini merancakkan sukan ekstrem yang mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat serta memberi peluang untuk beriadah secara santai.

Menurutnya, peserta perlu melalui jalan denai yang sempit, curam selain jalan batu kerikil hingga ke sempadan hutan simpan UUM.

“Trek memang menarik dengan pemandangan hijau dan sesuai untuk Latihan, jadi pelihara ekosistem hutan dan awasi hidupan liar demi kelestarian alam semulajadi.

“Laluan semakin mencabar ketika mendaki dan menuruni beberapa puncak seperti Bukit Urat Betis, Bukit Ombak Buluh, Bukit W, Bukit Dagu, Bukit Kelulut,” katanya yang berjaya menamatkan larian dalam tempoh dua jam, seterusnya bergelar juara.

Hairul berkata, program itu telah membuka mata masyarakat tentang Universiti di Rimba Hijau yang kaya dengan biodiversiti dan khazanah berharga di samping mengeratkan hubungan sesama peserta.

Menurutnya, sebelum acara larian ini, dia menjalani latihan yang konsisten setiap hari untuk kekalkan momentum dan stamina supaya melangkah lebih jauh.  

Simulasi UUM Rainforest Trail Run membolehkan peserta menikmati keindahan flora dan fauna seperti Tasik Sintok, Sungai Badak, Menara Memerhati Burung dan Pokok 3 Beradik dan Pokok Sintok.

Pengarah teknikal, Mohd Tarmizi Musa berkata, seramai 21 peserta bersama empat petunjuk arah berkumpul di Pusat Sukan bagi sesi pemanasan badan sebelum larian bermula seawal jam 7.30 pagi. 

Menurutnya, simulasi itu adalah sebagai persiapan menghadapi UUM Rainforest Trail Run (UUMRTR) 2019 yang akan diadakan pada 21 September nanti sempena Hari Malaysia.

“Larian ini sebagai warm-up untuk program UUM Rainforest Trail Run selain menentukan dan meninjau semula persediaan yang dibuat.

“Kita nak melihat semula jarak antara satu tempat ke tempat lain, tanda semua laluan mengikut signboard dan meninjau lokasi, dan menambah tagging laluan di beberapa lokasi yang didakwa mengelirukan.

“Selain itu, kita juga mendapat maklum balas daripada peserta supaya meletakkan beberapa papan tanda yang menunjukkan jarak yang telah dilalui dan jarak baki perjalanan untuk memudahkan mereka mengatur strategi.

“Jadi dengan cara ini kita dapat merancang masa dan menambahbaik sebarang kekurangan sebelum acara sebenar berlangsung,” katanya.

UUMRTR anjuran Persatuan Akademia UUM (PERSATU) dan UUM Hikers merupakan aktiviti larian dalam hutan  yang mensasarkan penyertaan dari dalam dan luar, sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat.  

Acara ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu Lelaki, Perempuan dan Fun Hike dan jarak larian dianggarkan sejauh sejauh 12 km untuk Competitive Trail Run dan 5 km untuk Fun Hike dalam hutan simpan UUM.