PENYELIDIK UUM KONGSI CARA TANAM PADI – HASIL MENINGKAT, ALAM TERJAGA

on .

Pertanian lestari adalah pertanian mesra alam yang memberi keuntungan berpanjangan dari aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Memandangkan pendedahan mengenai kelestarian yang lebih mesra ekologi kurang dicanangkan, kumpulan penyelidik UUM berganding bersama Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas) dan penyelidik teknikal Institut Pengurusan Bencana (DMI), Zakaria Kamantasha ingin mengubah situasi ini dengan berkongsi pengurusan pertanian menerusi Sistem Keamatan Padi (SRI) melalui pembangunan Sekolah Lapangan Petani berasaskan agrobiodiversiti.

Menurut Penyelidik UUM, Zakirah Othman, akibat kurangnya pengetahuan dan kesedaran terhadap amalan pertanian lestari dalam proses penanaman padi berlakulah kepupusan biodiversiti, kemerosotan kesuburan tanah yang bertentangan dengan matlamat kebangsaan iaitu untuk memelihara keselamatan makanan.

“Kaedah SRI bukan sahaja untuk penanaman padi, tetapi juga untuk semua tanaman yang menekankan biji benih berkualiti, tanam berjarak, pengurusan air yang betul dan pembuangan rumput dan mengembur. 

“Sudah sampai masanya, kita mengorak langkah mengubah cara pengurusan penanaman padi yang lebih inovatif, selamat dan menggunakan bahan semulajadi yang ada di sekeliling kita,” katanya.

Jelasnya, tanaman padi secara SRI di kawasan luar bandar juga mempunyai kelebihan tersendiri, di samping menyelesaikan masalah isu tanah terbiar, petani berupaya menghasilkan padi yang lebih berkualiti.

“Objektif kajian dijalankan untuk meningkatkan dan mempromosikan agrobiodiversiti di Malaysia melalui penanaman padi SRI berasaskan ekosistem”, ujarnya.

Selain itu, membangunkan komuniti yang dinamik berdasarkan pendekatan pembelajaran sosial, petani dibimbing oleh petani yang lebih berpengalaman luas melalui penubuhan Sekolah Lapangan Petani yang menekankan penyertaan petani dan masyarakat setempat.

Penyelidikan beliau turut dijulang sebagai penerima Anugerah Penyelidik pada  Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2019, baru-baru ini.

“Penyelidikan ini adalah kesinambungan penyelidikan PhD saya. Cetusan idea untuk memohon geran luar bermula apabila Dekan STML pada ketika itu, Prof. Dr. Shahimi Mokhtar mencadangkan untuk mendapatkan geran antarabangsa jadi saya amat berterima kasih kepada beliau dan ramai profesor yang menyokong,” luahnya.

Geran ini di bawah pembiayaan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme-UNDP), Fasiliti Persekitaran Global (Global Environment Facility-GEF) dan Program Grant Kecil (Small Grants Programme –SGP) dan SRI-Mas.

Projek selama 2 tahun ini bermula pada 2018 - 2020 bertajuk Peningkatan Sistem Penanaman Padi Berasaskan Agrobiodiversiti melalui Sistem Intensifikasi Padi (SRI) di Malaysia.  

Kumpulan penyelidikan ini terdiri daripada Dr. Nurul Azita Salleh,  Dr. Noor Hidayah Abu dan Federica Agnes manakala penyelidik luar ialah Prof Madya Dr. Norida Mazlan dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, UPM,  Dr. Anizan Isahak dan Dr.  Anni Mitin dari SRI-Mas

“Usaha ini merupakan penyelidikan bersama dengan badan bukan kerajaan, Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang berbentuk action research (Penyelidikan Tindakan) dan kerja lapangan bersama pesawah,” tambahnya.

Selain itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) dan badan bukan kerajaan seperti Koperasi Agro Belantik Sik Berhad, Koperasi Kopeta, Sabah, PACOS, WWF dan Best Society turut memberi kerjasama yang baik.

Jalinan kerjasama ini memberi impak kepada komuniti dari segi pengetahuan Agrobiodiversiti dalam penanaman padi dan amalan tanaman padi SRI organik.

UUM berperanan membantu perkembangan Sekolah Lapangan Petani di Malaysia selain jaringan luar yang memberi semangat dan motivasi kepada petani melalui kerjasama jaringan SRI antarabangsa (ASRIA) turut diwujudkan.

Projek ini juga telah mengenalpasti tapak yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai Sekolah Lapangan Petani di Malaysia seperti SRI-Lovely di Kedah, Sawah Sempadan di Selangor, Merbau di Kelantan, Kampung Tambatuon dan Kiulu di Sabah serta Ba’kalalan, Long Semadoh di Sarawak.

“Sekolah ini melatih petani untuk menanam padi menggunakan bahan semulajadi yang tidak berbahaya dan menjejaskan alam sekitar dan manusia.  

“Petani yang hebat dan akan melatih petani lain kerana mereka cukup  berpengalaman dan lebih memahami situasi sebenar petani selain mengurangkan jurang antara mereka.

“Hanya petani lebih faham petani jadi mereka lebih mudah berinteraksi secara santai dan menerima bimbingan yang diberikan tanpa rasa rendah diri atau segan silu dalam  program berbentuk training of trainer (ToT) ini,”  katanya.

Keseluruhan sistem pertanian berasaskan Agrobiodiversiti yang memberi tumpuan kepada keperluan komuniti setempat, aktiviti dan pembentukan jaringan pihak berkepentingan dan advokasi ke arah dasar yang menyokong pertanian padi dan sistem makanan lestari.

Usaha ini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai cara penyediaan baja kompos dan bahan penggalak tanaman menggunakan bahan organik secara mesra alam.