AKTIVITI SISWA INDAHKAN PANTAI TOK JEMBAL

on .

KELAB MyAgrosis Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kelab MyAgrosis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Usahawan Dapo Pata telah menjalankan aktiviti pembersihan dan mengindahkan pantai di Uptown Kontena, Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Seramai 36 pelajar UUM dan 18 pelajar UMT telah berjaya menyiapkan ‘series of signage’ yang dibuat untuk memberikan kesedaran kepada para pelancong tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai. Idea ini diperoleh daripada pemilik Uptown Kontena untuk memberikan keunikan dan kesedaran pengunjung di situ.

Aktiviti diadakan sempena Program Kembara MyAgrosis UUM ke Pantai Timur-UMT pada 4 sehingga 6 April lalu dan dirasmikan oleh Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC), Dr. Mohd Shaari Abdul Rahman. Turut hadir Mohd. Hafiz Mohd Dee, En. Wan Amirul Hafiz Wan Abu Bakar selaku Penasihat MyAgrosis UMT dan Dr. Nur Marina Abdul Manap selaku Penasihat MyAgrosis dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM.

Pengarah Program, Siti Nurdana Tajudin berkata, objektif utama program adalah untuk berkongsi ilmu dan pandangan antara pelajar UUM dan UMT serta menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam program yang melibatkan pelbagai komuniti.

Terdapat juga beberapa aktiviti lain antaranya lawatan ke Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) serta malam kebudayaan.

Sementara itu menurut Dr. Nur Marina pula, program ini bagi menggalakan para pelajar menimba ilmu dan pengetahuan dari universiti lain untuk mereka mengaplikasikan ilmu yang diperoleh di UUM bagi kegunaan masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia, 16 April 2019, m.s. 25 (Mega Kampus). https://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/aktiviti-siswa-indahkan-pantai-tok-jembal-1.883064