ERT JALANI KURSUS ASAS KESELAMATAN KEBAKARAN

on .

UUM ONLINE: Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjalani Kursus Asas Keselamatan Kebakaran di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

Pasukan ERT UUM telah ditubuhkan oleh pihak universiti pada tahun 2017 dengan kekuatan anggota seramai 36 orang sebagai persediaan jika berlaku sebarang kecemasan di dalam kawasan universiti, pasukan ini akan dikerah untuk membantu sementara menunggu ketibaan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sehingga kini pasukan ini berkekuatan 41 anggota yang terdiri dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan, Lt. Kol (B) Musa Bari.

Menurut Pembantu Hal Ehwal Islam, Hazwan Hasni yang kali pertama menyertai kursus ini teruja menjalani latihan yang bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan persediaan sebagai anggota bomba bantuan sekiranya berlaku kecemasan di dalam kawasan tempat kerja sementara menunggu ketibaan bomba.

“Sebaik tiba di akademi, peserta dibekalkan pakaian lengkap untuk menjalani latihan.

“Latihan ini mendedahkan teknik untuk menyelamatkan mangsa, menurunkan mangsa dari bangunan dengan selamat,” katanya.

Manakala Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi berkata, peserta kursus dapat meningkatkan kemahiran menyelamat mangsa kebakaran di dalam bangunan, kawad hos permulaan dan kawad hos operasi dan Simulasi Pemadaman Kebakaran serta Simulasi Pengungsian Bangunan.

Antara lain, peserta didedahkan dengan teknik yang betul menggunakan peralatan memadam kebakaran bagi mengurangkan pembaziran air dan kerosakan harta benda.

Selain mempelajari elemen yang mencetuskan punca api serta kaedah betul mengawal kebakaran, pengalaman menaiki jentera bomba tidak akan dilupakan oleh beliau.

“Dalam masa 60 saat, kami perlu melengkapkan diri dengan peralatan perlindungan diri dan berada di dalam jentera sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Merasai pengalaman berada di dalam jentera, kami perlu merancang strategi yang akan digunakan bagi tindakan mengawal kebakaran sebaik tiba di lokasi pemadaman.

“Semua peserta didedahkan dengan fungsi dan peranan setiap anggota bomba. Bagaimana untuk mengawal situasi kebakaran dan bertindak memadam kebakaran,” tambahnya.

ERT UUM turut memainkan peranan untuk membantu jabatan-jabatan di universiti memberi latihan dan pendedahan kepada kakitangan secara berperingkat.

Setiap bangunan di dalam kawasan kampus perlu menubuhkan pasukan ERT mereka sendiri.

ERT UUM akan memberikan latihan dan membantu dari segi teknik yang betul menggunakan peralatan memadam kebakaran yang ada di bangunan masing-masing.

Setiap jabatan perlu menjalankan latihan pengungsian bangunan sekurang-kurangnya 2 kali setahun.