UUM UNGGULI PETRON ROAD SAFETY DIGITAL CHALLENGE

on .

UUM ONLINE: UUM muncul Johan bagi kategori Institusi dengan skor sebanyak 724,250 mata sekali gus menerima wang tunai RM3,000 dalam Petron Road Safety Digital Challenge yang berlangsung di Dewan Muádzam Shah, semalam.

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang dengan catatan 205,710 mata merangkul wang tunai RM2,000 diikuti Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dengan 127,800 mata dengan wang tunai RM1,000.

Program anjuran Petron Malaysia dan UUM melalui The Centre for Logistics and Transport (CeLT) dan Kelab Logistik dan Pengangkutan (Logtrans), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan Inasis Bank Muamalat, Grantt, Sime Darby dan Pusat Sukan, UUM menampilkan pelbagai aktiviti bermanfaat yang interaktif seperti Petron Golf Tournament, Marvel Night Run, Petron Quiz Hour dan Bosch Quiz Hour.

Berucap pada majlis itu, Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Mohd Nasri Ishak berkata, penggunaan teknologi terkini yang melibatkan aplikasi telefon bimbit atau mobile apps dilihat sebagai satu langkah yang tepat bagi menyebarluaskan ilmu keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda. 

“Saya sangat berharap para pelajar dapat mengambil manfaat peluang yang ada pada hari ini untuk memahami dengan lebih baik aspek-aspek keselamatan jalan raya agar lebih waspada dan menjadi pengguna jalan raya yang lebih selamat,” ujarnya sejurus sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Keselamatan Jalan Raya Petron 2019.

Menurutnya, pada tahun 2018 jumlah kematian yang dicatatkan ialah sebanyak 6,284 berbanding dengan jumlah kematian yang dicatatkan pada tahun 2017 sebanyak 6,740.

“Perbezaan penurunan sebanyak 456 kematian atau sebanyak 7.25% ini merupakan satu indikator bahawa segala inisiatif yang telah diambil oleh pelbagai pihak bagi memastikan keselamatan jalan raya ini mempunyai kesan yang positif,” ucapnya.

Tambahnya, JKJR selaku penyelaras bagi inisiatif baru ke arah peningkatan keselamatan jalan raya juga akan sentiasa menyokong penuh setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

“Kita mempunyai beberapa program keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah jadi Digital Challenge ini sebagai satu kesinambungan untuk memberi kesedaran awal kepada pelajar dan apabila bergraduat mereka inilah yang akan menyebarluaskan kesedaran ini.

“Menerusi kerjasama ini diterapkan kesedaran keselamatan dalam  setiap diri individu apabila memasuki jalan raya sama ada seorang pejalan kaki, penunggang motosikal dan kenderaan kita terlibat dalam pelbagai aspek jalan raya yang berperanan membantu negara mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Justeru tambahnya, kerjasama dan penglibatan secara strategic partnership sebegini di antara pihak institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan yang berkaitan sangat tepat pada masanya.

Beliau turut dan syabas kepada pihak Petron Malaysia dan UUM yang merealisasikan majlis ini dengan membawa konsep Digital Challenge yang bermula secara rasminya dari 12 November hingga 10 Disember 2019.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan Petron Malaysia dalam mengatur majlis ini dengan satu iltizam yang sama iaitu untuk memberikan kesedaran  terhadap kepentingan keselamatan jalan raya.

“Program kerjasama ini juga menyediakan satu platform untuk golongan profesional berkongsi dan memindahkan ilmu kepada para pelajar khususnya supaya mereka lebih terdedah kepada perkara ini.

“Saya berharap bahawa kesedaran Petron untuk mengambil dan mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) harus dicontohi oleh pihak swasta yang lain.

Katanya, statistik kemalangan jalan raya di Malaysia adalah amat membimbangkan dimana kadar kematian akibat kemalangan adalah melebihi tujuh 7,000 orang setahun.

“Saya berharap program yang dijalankan ini dapat melahirkan komuniti yang berhemah serta mempunyai displin dan etika pemanduan yang tinggi supaya keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain lebih terpelihara dan selamat.

“Saya percaya kempen yang telah dijalankan menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya dengan saranan supaya sentiasa berhemah dan mematuhi peraturan semasa menggunakan jalan raya,” tambahnya.