STML GO GREEN 2019 RANCAKKAN PEMBANGUNAN LESTARI

on .

UUM ONLINE: Mengangkat tema Industrial Revolution Towards Sustainability,  program STML Go Green 2019 mendapat sambutan dan respon positif daripada Kerajaan Negeri Kedah dan warga kampus.

Kemunculan Optimus Prime (Transformer) dan aksi persembahan Gendang Silat oleh Pelajar Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Nahar, Pameran industri dan niaga menceriakan program yang berlangsung di Foyer Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Ismail Salleh, dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dunia telah berubah dengan pantas yang memerlukan generasi muda menguasai teknologi terkini.

“Mahasiswa perlu bergerak seiring dengan perubahan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Penguasaan teknologi itu perlu disertakan dengan aspek kemahiran dan keusahawanan,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pengurusan Teknologi Operasi dan Logistik sempena STML Go Green 2019, di STML,  kelmarin.

Jelasnya, pengenalan terhadap bidang teknologi di negara ini boleh diberi penekanan sejak dari peringkat sekolah rendah lagi bagi memberi pendedahan awal mengenai kepentingannya.

“Jadi kita perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan anak-anak kita mampu bersaing di peringkat lebih tinggi demi kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Nor Hasni Osman berkata, GoGreen menjadi acara penting kepada  STML sejak beberapa tahun yang lalu.

“Simposium ke-13 ini sangat penting kerana kami membuka peluang kepada pelajar sarjana untuk membentangkan hasil projek akhir yang membuka ruang   perbincangan, meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran sebagai persediaan   sebelum memasuki alam pekerjaan.

Jelasnya, simposium ini menampilkan dua panelis iaitu Pengarah Urusan The Frangipani Langkawi Resort and Spa, Profesor Adjung Anthony Wong Kim Hooi serta Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. Dato' Ir. Guntor Tobeng bagi berkongsi pengalaman masing-masing.

“Kami berbesar hati dengan kehadiran tetamu yang terus memberi sokongan dan ilmu  berharga daripada panel akan memberi manfaat dan meningkatkan motivasi pelajar untuk meneroka peluang dalam kehidupan kerjaya selepas tamat pengajian,” ucapnya.

Manakala Pengarah Program, Dr Nurul Azita Salleh menyifatkan program STML Go Green kali yang ke-13 ini  mendapat respon positif daripada Kerajaan Negeri Kedah sebagai satu program yang berjaya mencapai matlamat. 

“Kejayaan ini adalah berdasarkan perkongsian ilmu yang selari dengan tema dan  panel yang dijemput memberikan ucapan yang amat bermakna pada pelajar dan pensyarah mengenai teknologi hijau, kitar semula  sisa makanan dan solar.

“Sambutan yang menggalakkan dalam suasana yang cukup meriah dan santai,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih hasil gabungan tenaga kerja dari pensyarah dan pelajar dari Program Pengurusan Teknologi, Pengurusan Operasi dan Logistik yang bersama-sama menjayakan program ini,” luahnya.

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: STML