WUJUD SEMANGAT GOTONG-ROYONG ERAT SILATURAHIM

on .

UUM ONLINE: Staf universiti ini diingatkan untuk mewujudkan semangat gotong-royong bagi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Pengerusi LPU, Dato’ Prof. Dr. Sudin Haron berkata, Kumpulan Pelaksana adalah antara pihak yang berperanan penting untuk membangunkan universiti dan menentukan kejayaan dasar-dasar yang telah dibuat. Justeru, menurutnya, kumpulan tersebut perlu bekerjasama dengan pengurusan universiti bagi menjayakan agenda yang telah dirancang.

Tambah beliau, fungsi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) adalah membuat dasar, mengawasi dan memantau perihal universiti bagi menjadikan UUM sebagai sebuah universiti yang terulung dan dapat meletakkan diri setaraf dengan universiti ternama dunia lain suatu hari nanti.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bual Mesra Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) anjuran Kesatuan Kakitangan (KESKA) UUM di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, baru-baru ini.

“Saya juga ingin berpesan kepada semua staf untuk menjaga kesihatan dan menjaga alam sekitar yang akan bermanfaat kepada universiti kelak,” katanya

Sementara itu, Presiden KESKA, Affendi Askandar berkata, peranan kesatuan adalah penting dalam menjaga dan membela nasib kakitangan UUM.

Menurutnya, kesatuan akan berperanan lebih aktif dalam isu berkaitan skim perkhidmatan, skim pencen, perumahan kakitangan, pakaian seragam dan pengajian lanjutan.

“Kakitangan sewajarnya dihargai sebagai rakan kemajuan dan perlu dilayan berdasarkan pengiktirafan dan status dalam masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Pendaftar, Baharudin Yaacob.

 

Oleh: Zuraidi Mokhtar
Gambar oleh: KESKA
Sumber: UUM CORPORATE COMM.