HARI PENGUMPULAN BARANGAN TERPAKAI DAPAT SAMBUTAN

on .

Hari pengumpulan barangan terpakai anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) dengan kerjasama Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) telah mendapat sambutan menggalakkan meskipun baru julung kali diadakan, baru-baru ini.

Program ini diinspirasikan bersama Pengarah ICC, Prof. Dr. Razamin Ramli dan Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat itu melihat kepada keperluan golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Prof. Dr. Razamin berkata, program tersebut memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan serta memupuk perasaan kasih sayang dan sikap keprihatinan warga universiti untuk berkongsi rezeki.

Menurutnya, program sepanjang sembilan hari itu mendapat sambutan menggalakkan dan berjaya mengumpul barangan terpakai seperti pakaian, kasut dan keperluan dapur hasil sumbangan warga UUM.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Nor Idayu berkata, program pengumpulan barangan terpakai itu merupakan inisiatif yang sangat baik dan perlu diteruskan pada masa hadapan.

“Program ini benar-benar menunjukkan bahawa pihak universiti sentiasa prihatin dengan masyarakat dan ianya selari dengan hasrat ‘Universiti Untuk Masyarakat’.

“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua staf ICC dan CeTMA di atas komitmen yang tinggi dalam menjayakan program ini serta sumbangan barangan dari semua kakitangan UUM, seterusnya dapat membantu golongan B40 di kawasan terlibat bagi meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Barangan yang dikumpulkan itu diserahkan kepada Salmi Said, wakil penduduk di Bukit Keteri, Perlis.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada UUM yang telah menganjurkan program tersebut kerana barangan yang disumbangkan ini akan memberi manfaat kepada penerima yang telah dikenal pasti.

 

Oleh: Mohd Afnan Abdul Khoni
Gambar oleh: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC)
Sumber: UUM CORPORATE COMM