SUMBANGAN KERTAS POLISI OYAGSB BANTU KERAJAAN NEGERI LESTARI NILAI HARTANAH

on .

Sumbangan Kertas Polisi Kelestarian Nilai Hartanah Negeri kepada Kerajaan Negeri Kedah membuktikan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) tidak melupakan tanggungjawab untuk membantu kerajaan tempatan. Bertempat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Prof. Dr. Mohd. Zaini Abd. Karim bersama Prof. Madya Dr. Zahiruddin Ghazali telah menyerahkan Kertas Polisi Kelestarian Nilai Hartanah Di Dalam Kawasan Banjir Dibawah Majlis Kerajaan Tempatan Negeri Kedah kepada Setiausaha Bahagian Majlis Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Mohd. Rizal Mohd. Radzi, baru-baru ini.

Prof. Dr. Mohd. Zaini berkata, dengan sumbangan ini, OYAGSB berharap ia dapat membantu Kerajaan Negeri dalam melestari nilai hartanah di dalam kawasan banjir melalui integrasi sistem perparitan dan bayaran pampasan bencana melalui insuran berkelompok.

“Kertas polisi ini juga dapat membantu Kerajaan Negeri Kedah mempertingkat nilai kutipan hasil pintu sejajar dengan peningkatan nilai hartanah di dalam kawasan pentadbiran kerajaan tempatan.” katanya.

Sementara itu, Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, Resident Faculty OYAGSB yang lain juga diharap dapat terus berusaha untuk membuat penyelidikan yang tidak hanya digunakan dalam bidang pendidikan tetapi turut memanfaatkan pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat.

Sebagai rekod, Kertas Polisi Nilai Hartanah Di Dalam Kawasan Banjir Dibawah Majlis Kerajaan Tempatan Negeri Kedah ini diusahakan oleh Prof. Dr. Mohd. Zaini sebagai Ketua Penyelidik bersama Prof. Dr. Roslan Abdul Hakim dan Prof. Madya Dr. Zahiruddin Ghazali.

 

Oleh: Nurul Nadiah Rusle
Gambar oleh: Prof. Madya Dr. Zahiruddin Ghazali
Sumber: UUM Corporate Comm.