CUIC SEHATI BERSAMA KOMUNITI SUNGAI BADAK

on .

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak menghalang Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) untuk menjayakan Program Sehati Bersama Komuniti Sungai Badak sempena kemerdekaan yang ke-63. Pengarah program, Suwannit Chareen Chit a/l Sop Chit berkata, program komuniti itu saban tahun menjadi aktiviti rutin di CUIC memandangkan peranan universiti bukan sahaja dalam aspek pembangunan akademik, malah dalam aspek sumbangan kepada komuniti melalui program seumpama itu.

Menurutnya, program komuniti itu berlangsung mengikut arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan demi keselamatan dan kesihatan bersama dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Program anjuran Unit Jaringan Masyarakat, CUIC ini bertujuan untuk mengeratkan kerjasama antara universiti dan komuniti setempat untuk berkomunikasi dan bekerja sebagai satu pasukan, selain menerapkan nilai dan etika masyarakat.

“Sesuai dengan sambutan Bulan Kebangsaan, program ini juga dapat memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat,” katanya.

Suwannit berkata, aktiviti utama adalah gotong-royong bersama penduduk setempat yang dibahagikan kepada dua kumpulan yang ditugaskan untuk mengecat jambatan yang sering digunakan oleh penduduk, manakala kumpulan kedua membersihkan sungai di Kampung Sungai Badak.

Menurutnya, dia berharap pelaksanaan program itu akan memberi impak kepada jaringan kerjasama antara universiti dan komuniti, seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan pada masa akan datang.

Sehati Bersama Komuniti itu juga disertai penduduk Kampung Sungai Badak yang diketuai oleh Said Bakar.

Said yang juga Ketua Kampung berbesar hati mengalu-alukan kedatangan UUM dan bersyukur kerana UUM tampil menyumbang khidmat bakti.

“Berbuat baik sesama insan merupakan satu amalan mulia melalui program kemasyarakatan ini turut memupuk perasaan cinta terhadap kebersihan serta keceriaan alam sekitar di kawasan kampung.

“UUM sentiasa mengambil berat terhadap masyarakat sekitar dengan turun padang, justeru saya mewakili penduduk kampung mengucapkan jutaan terima kasih kepada CUIC yang berganding bahu mengerah tenaga dan mengorbankan masa untuk bersama menjaga alam sekitar,” tambahnya.

 

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: CUIC
Sumber: UUM Corporate Comm.