RANGKA TINDAKAN KETERLIBATAN KOMUNITI PINTAR UNTUK DAERAH KUBANG PASU

on .

Kubang Pasu merupakan salah sebuah daerah yang pesat membangun di negeri Kedah Darul Aman dan terbukti dengan persetujuan kerajaan untuk menaik taraf Kubang Pasu kepada status perbandaran pada 22 Oktober 2018. Menyedari akan cabaran yang akan dihadapi oleh Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) terutamanya dari aspek keterlibatan masyarakat dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0), penyelidik dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah menyediakan satu rangka tindakan untuk membantu pihak majlis untuk menggalakkan keterlibatan masyarakat dalam penyaluran maklumat di Daerah Kubang Pasu.

Ketua penyelidik, Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud berkata, dengan adanya rangka tindakan itu diharapkan dapat membantu MPKP dan Kerajaan Negeri Kedah dalam menggalakkan keterlibatan pintar masyarakat terhadap perkhidmatan dalam kawasan pentadbiran MPKP.

Menurutnya, penyelidikan tersebut telah dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Katanya, rangka tindakan itu juga menggariskan panduan untuk MPKP melaksanakan perkongsian maklumat secara pintar untuk membantu MPKP bertindak dengan lebih cekap dan efisien.

“Kita telah menghantar Rangka Tindakan Keterlibatan Komuniti Pintar Untuk Daerah Kubang Pasu kepada Yang Di-Pertua MPKP, Azmin Zainol Abidin, baru-baru ini,” katanya.

Kajian tersebut turut disertai penyelidik dari SOC dan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) iaitu Noraziah Che Pa (SOC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Hasbullah Omar (SOC) dan Prof. Madya Dr. Shamshuritawati Sharif (SQS) serta Farizan Salleh dari MPKP.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Huda Ibrahim berkata, pensyarah di UUM CAS juga diharap dapat terus menjalankan penyelidikan yang boleh dimanfaatkan pelbagai pihak terutamanya dalam Daerah Kubang Pasu dan Negeri Kedah.

 

Berita dan gambar oleh: Noraziah Che Pa
Sumber: UUM Corporate Comm.