TISSAC KONGSI PENGETAHUAN PERTANIAN SECARA HIDROPONIK

on .

Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Perakaunan (TISSAC) telah mengadakan Siri Pendidikan: Bengkel Tanaman Hidroponik bagi berkongsi pengetahuan tentang pertanian secara hidroponik di Bilik TISSA001, Bangunan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), baru-baru ini. Pengerusi TISSAC, Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad berkata, Siri Pendidikan Bulanan TISSAC diadakan untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat buat peserta program.

Menurutnya, pada bengkel tersebut, peserta mempelajari ilmu tentang pertanian secara hidroponik, yang bukan sahaja baik sebagai terapi diri, tetapi juga sebagai jihad ke arah mengambil makanan yang lebih sihat.

“Saya berharap peserta akan mempraktikkan ilmu yang dipelajari ini sebaiknya.

“Selain itu, Siri Pendidikan ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli dan bukan ahli TISSAC,” katanya.

Bengkel sehari itu disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Shamharir Abidin dan Prof. Madya Dr. Zuaini Ishak yang turut membuka  penyertaan kepada pihak luar antaranya kakitangan jabatan lain serta pesara UUM.

Dr. Shamharir berkata, penanaman hidroponik sangat digemari kerana ia mudah dan kos efektif.

Menurutnya, tanaman hidroponik menggunakan kaedah 3T iaitu Tanam, Tunggu/Tengok dan Tuai sahaja dan tidak perlu menggunakan racun serangga.

Bengkel itu disertai 35 peserta yang mana semuanya melahirkan rasa seronok dan teruja kerana dapat belajar ilmu penanaman hidroponik secara komprehensif.

Penceramah bukan sahaja berkongsi ilmu secara teori, malah telah menunjukkan cara-cara menyiapkan set hidroponik secara praktikal.

Di akhir bengkel, peserta dibekalkan kit asas hidroponik yang lengkap untuk dipraktikkan, selain anak pokok yang disemai khas oleh penceramah.

 

Oleh: Dr. Idawati Ibrahim
Gambar oleh: Mohamad Azlan Nik Ismail
Sumber: UUM Corporate Comm.