SAMPAH ADA HARGA DENGAN RECYCLE FOR LIFE

on .

Setiap hari kita membuang bermacam-macam jenis sampah seperti plastik, kertas dan minyak namun siapa sangka sampah yang kita buang rupa-rupanya ada harga? Perkara ini didedahkan dalam Ceramah ‘Recycle For Life’ Dan Penjualan Barangan Terpakai Untuk Kitar Semula anjuran Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah dengan kerjasama pihak E-idaman Cawangan Jitra. Eksekutif Komunikasi Korporat E-idaman Sdn Bhd, Mohd Zabidi Romli berkata, ramai yang tidak tahu sampah yang dibuang saban hari boleh ditukar dengan wang ringgit menerusi Program Recycle For Life (RFL).

Jelasnya, program RFL merupakan program kitar semula yang menawarkan ganjaran nilai tunai melalui penggunaan kad pintar dan program pertama seumpamanya di Malaysia.

“Kami di E-idaman menawarkan ganjaran nilai tunai bagi barangan yang boleh dikitar semula dan sekiranya dalam kuantiti yang banyak pihak kami akan datang mengambil di rumah anda dengan syarat barang tersebut mestilah bersih dan dikeringkan terlebih dahulu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, cara Pendaftaran RFL melalui Sistem ‘e-card’ dan melalui usahasama bersama, kad RFL boleh digunakan di kedai-kedai di bawah rangkaian rakan niaga RFL.

“Program ini juga dapat meningkatkan kadar kitar semula dalam kalangan warga kampus dengan menyokong kempen pengasingan sisa pepejal yang diperkenalkan oleh Kerajaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan tapak perlupusan.

“Antara barang atau jenis-jenis sisa kitar semula yang bernilai seperti plastik, Kain,  Fabrik, minyak masak terpakai, kotak, kertas, surat khabar, tin aluminium, tin dan besi kecuali barangan kaca tidak diterima,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Bahagian Latihan, Jawatankuasa 5S PSB, Asmaniza Mansor berkata, acara seumpama ini meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap pengurusan sisa pepejal di rumah dan di mana sahaja.

“Sambutan yang amat baik sekali gus menggalakkan pelaksanaan kempen Reduce, Reuse, & Recycle (3R) yang akan mengurangkan penjanaan sisa secara keseluruhan.

“Sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19, warga UUM boleh menonton ceramah secara online di FB Live PSB selain penyertaan secara fizikal dibuka kepada 30 peserta terawal di Auditorium 1 dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Di samping ceramah, pihak E-idaman turut membuka booth di Loading Bay, Bangunan Utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah kepada warga kampus untuk menjual barangan terpakai yang boleh dikitar semula,” katanya.

 

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Abdul Hadi Taib
Sumber: UUM Corporate Comm.