UUM PRIHATIN: SETIA SANTUNI MANGSA KEBAKARAN

on .

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Atas dasar prihatin dengan nasib yang menimpa staf UUM, Persatuan Setiausaha UUM (SETIA) turun padang menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang juga Setiausaha, Ku Aznita Ku Baharum, di Pantai Halban, Jitra. Presiden SETIA, Rahazila Aziz berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap warga kampus terutamanya apabila mengetahui staf UUM yang ditimpa musibah.

“Apa yang kami boleh lakukan ialah dengan membuat kutipan derma kilat, menziarahi mangsa, di samping memberikan sokongan moral agar dia terus tabah dengan kejadian yang berlaku.

“Dengan kerjasama UUM Corporate Communication dan Pusat Sukan, kami telah memulakan bantuan kemanusiaan ini dengan membuat hebahan dalam kalangan warga kampus bagi mempercepatkan kutipan dibuat untuk meringankan beban mangsa,” katanya.

Rahazila berkata, kutipan dibuat hanya dalam masa dua hari sahaja, selain sumbangan daripada SETIA malah ada yang menyalurkan bantuan terus ke akaun Ku Aznita.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan sedikit bebanan yang ditanggung Ku Aznita sekeluarga.

Sementara itu, Ku Aznita  berkata, insiden kebakaran rumah kedainya mengakibatkan kemusnahan teruk membabitkan kelengkapan kedai, pakaian dobi dan pelbagai kelengkapan lain di tingkat bawah kediamannya. 

Ketika kejadian, Ku Aznita berkata, dia sekeluarga berada di tingkat atas bangunan rumah kedai itu sebelum menyedari kebakaran di aras bawah.

“Saya bersyukur walaupun mengalami kerugian tetapi kami sekeluarga masih selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Cuma yang menyayat hati apabila kebakaran ini berlaku pada hari yang sama dengan hari lahir saya, namun saya reda dengan ketentuan takdir,” katanya yang juga Ahli SETIA.

Ku Aznita serta suami, Nizzan Abd. Aziz turut mengucapkan penghargaan dan terima Kasih kepada bekas Adun Jitra, Dato’ Aminuddin Omar yang memberi sumbangan, selain SETIA serta Corporate Communication yang prihatin dengan nasib yang menimpanya.

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: H.Rasidah H.Rodzi
Sumber: UUM Corporate Comm.