PELAKSANAAN KAMPUS LESTARI AGENDA UTAMA BENGKEL ‘LIVING CAMPUS’

on .

Kesedaran mengenai kepentingan kawasan lestari dan hijau di dalam kampus telah menjadi agenda utama kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam proses pembangunan yang lebih mapan pada masa hadapan. Bagi memenuhi agenda tersebut, Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Kertas Kerja Polisi: Blueprint Living Campus bertempat di UTLC Future Learning Lab, Kompleks Konvensyen, baru-baru ini.

Bengkel yang dianjurkan ini merupakan platform kepada ahli kluster untuk merangka dan merancang pelaksanaan projek Living Campus sesuai dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Selain itu, bengkel yang disertai oleh 45 orang peserta ini telah memberikan peluang kepada ahli kluster untuk berkongsi maklumat dan pandangan mengenai aspek yang perlu diberikan tumpuan bagi setiap kluster projek ditetapkan supaya dapat memenuhi keperluan UUM.

Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat berkata, pelaksanaan program ini melibatkan tiga peringkat iaitu tempoh jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

Menurutnya, rancangan Living Campus telah bermula pada tahun ini dan telah dibahagikan kepada tiga peringkat masa iaitu jangka masa pendek 2019 hingga 2020, jangka masa sederhana 2020 hingga 2025 dan jangka masa panjang 2025 hingga 2030.

“Bagi memastikan pelan kelestarian dapat dilaksanakan dengan sempurna, bengkel tersebut diadakan untuk mendapatkan input-input dan maklumat daripada pelbagai pihak dalam setiap kluster bagi menyediakan pelan induk kelestarian hijau kampus UUM.

“Blueprint yang dihasilkan oleh setiap kluster akan dibentangkan kepada pengurusan tertinggi UUM dan akan menjadi panduan penting kepada pelan pembangunan yang tersusun di UUM pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, saya berharap semua kluster mampu menyediakan draf awal berkaitan program Living Campus bagi proses semakan sebelum dibentangkan kepada pengurusan tertinggi universiti,” katanya yang turut membentangkan Living Campus Sustainability Plan 2019-2030.

Sementara itu, penceramah utama bengkel, Prof. Dr. Zakaria Abas ketika sesi syarahan telah menjelaskan mengenai matlamat yang ingin dicapai melalui pelaksanaan program Living Campus kepada semua pihak berkepentingan di dalam dan luar UUM.

“Program Living Campus mempunyai tiga matlamat utama iaitu menjadikan UUM sebagai peneraju dalam aspek hijau dan kelestarian, memupuk pemikiran kreatif dan menilai tahap kemampanan dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, misi utama Living Campus turut memberikan tumpuan kepada meningkatkan kecemerlangan berkaitan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan bagi membentuk pemimpin masa hadapan yang bertanggungjawab bagi melaksanakan perubahan persekitaran yang lebih baik selaras dengan konsep Maqasid Syariah iaitu mencapai Rahmatan Lil-Alamin,” katanya. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kedah telah memberikan fokus utama kepada aspek persekitaran yang seimbang bagi menjayakan sasaran SDG 2030.

Katanya, UUM yang diketahui mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang mampu memberikan sumbangan akan kepada kerajaan negeri dalam memastikan SDG 2030 dapat dicapai.

“UUM boleh memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada kerajaan negeri dengan menyediakan kepakaran dan berkongsi segala maklumat yang diperlukan bagi menjayakan SDG 2030.

“Perkara ini dapat memastikan program SDG akan dapat dicapai dengan baik dan lebih menyeluruh serta melibatkan semua pihak di negeri Kedah,” katanya yang merupakan Pengarah di Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sumber: http://www.rimc.uum.edu.my/index.php/component/content/article/89-berita-bckp/308-pelaksanaan-kampus-lestari-agenda-utama-bengkel-living-campus