LIVING CAMPUS TALK PUPUK IDEA KAEDAH PEMBANGUNAN KAMPUS LESTARI

on .

Bagi memupuk idea dan cadangan tentang kaedah pembangunan kampus yang lestari, Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) melalui Jawatankuasa Pemandu Living Campus telah mengadakan Program Living Campus Talk: Managing Living Campus for Sustainable Environment di UTLC Future Learning Lab, baru-baru ini.

Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat berkata, program Living Campus merupakan satu projek di peringkat UUM yang menggariskan pelan tindakan strategik berkaitan hijau dan kelestarian pembangunan bagi tujuan menjadikan UUM sebagai peneraju dalam pembangunan hijau dan kelestarian, melahirkan pemikir kreatif dan pengukuran hijau serta kelestarian persekitaran.

Menurutnya, program itu merupakan satu inisiatif bagi menyampaikan maklumat mengenai kaedah pengurusan alam sekitar yang sistematik dan kepentingannya kepada masyarakat.

Sementara itu, penceramah jemputan, Prof. Dr. Ahmad Ismail dalam perkongsian beliau berkata, pengurusan alam sekitar yang mapan mampu memastikan masyarakat hidup dengan tenang dan lebih selesa.

"Ketika ini, pelbagai kejadian bencana alam yang berlaku di dalam negara seperti banjir, tanah runtuh, kemarau dan sebagainya disebabkan kegagalan manusia dalam memastikan kawasan persekitaran diijaga dengan sempurna.

“Apabila bencana alam berlaku, manusia yang akan menerima kesan negatif seperti mengalami kecederaan, kemusnahan harta benda dan lebih serius sehingga membawa maut, justeru penjagaan alam sekitar perlu menjadi tanggungjawab kepada setiap individu bagi mengelak tragedi berlaku,” katanya.

Prof. Dr. Ahmad yang merupakan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berkata, UUM boleh menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta bagi melaksanakan sistem pengurusan persekitaran kampus yang lebih baik.

Menurutnya, kolaborasi tersebut akan memberikan kebaikan kepada UUM dan masyarakat yang turut menerima kesan positif apabila proses sebegini dilaksanakan.

Katanya, UUM perlu mengambil langkah untuk membina hubungan dengan organisasi swasta bagi memastikan pengurusan kampus yang lestari akan dilaksanakan dengan sempurna dan melalui kerjasama pelbagai pihak akan memudahkan proses untuk berkongsi kepakaran, teknologi dan maklumat yang berkaitan.

“Pihak swasta perlu lebih aktif untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada masyarakat dan perkara ini tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja.

"Program sebegini memerlukan peruntukan tinggi dan sektor swasta diharapkan mampu memberikan sumbangan kewangan yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya UUM menggalakkan budaya kitar semula dalam kalangan staf, mengelakkan pembaziran makanan dan mengurangkan penggunaan plastik yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Tambahnya, masyarakat perlu membayar cukai bagi pengurusan sampah yang sebenarnya boleh dielakkan dengan melaksanakan beberapa kaedah bagi mengurangkan penghasilan sampah.

Menurutnya, kaedah itu akan menjimatkan wang dan boleh mengurangkan pembukaan kawasan pelupusan sampah yang baharu.

“Pelindungan alam sekitar juga perlu menjadi tumpuan kepada UUM dalam proses pembangunan yang dilakukan bagi mengelak kawasan hutan mengalami kemusnahan dan tentu sekali akan memberikan impak kepada warga UUM pada masa hadapan,” katanya.

 

Sumber: http://rimc.uum.edu.my/index.php/component/content/article/89-berita-bckp/278-living-campus-talk-pupuk-idea-kaedah-pembangunan-kampus-lestari