UUM DAN TOURISM MALAYSIA SEPAKAT UNTUK MAJUKAN EDUTOURISM

on .

Pertemuan serampang dua mata antara Naib Canselor dan Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara bakal mewujudkan kolaborasi dalam mempromosikan Malaysia menerusi edutourism yang akan memanfaatkan kedua pihak ketika negara kini sedang berdepan pandemik Covid-19. Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, keadaan pandemik sekarang telah membataskan sebarang aktiviti pelancongan diadakan secara fizikal, begitu juga sektor pendidikan yang mana proses pengajaran dan pembelajaran telah berlangsung secara atas talian (online).

Menurutnya, beliau berharap Tourism Malaysia dapat membantu UUM khususnya untuk mempromosikan edutorism yang terdapat di universiti yang dilihat mampu memberi nilai pulangan kepada kedua pihak.

"Kita harus memikirkan masa hadapan bagaimana untuk terus bertahan dalam industri ini dalam norma baharu, malah teknologi kini juga  berkembang maju dengan pantas begitu juga dunia pendidikan.

"Jadi, saya berharap UUM dan Tourism Malaysia dapat bersama-sama mempromosikan pelancongan negara khususnya dalam bidang pendidikan kerana kita mempunyai peluang yang sangat luas," katanya ketika menerima kunjungan hormat Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara di Balai Tamu, pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara, Yoganthiran a/l Manikam berkata, kunjungan hormat tersebut adalah untuk membincangkan bagaimana untuk memajukan sektor perindustrian dan lain-lain sektor yang penting untuk pembangunan negeri dan negara.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, beliau dapati banyak ruang dan peluang yang boleh bekerjasama Tourism Malaysia dan UUM terokai.

"Saya juga yakin kerjasama demikian mampu membantu pertumbuhan ekonomi negara sekiranya industri dan pendidikan bergabung bekerjasama, seterusnya memberikan hasil menakjubkan," katanya.

Hadir sama, Dekan STHEM, Dr. Johan Afendi Ibrahim; Timbalan Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Juliana Aida Abu Bakar; Pengarah Pemasaran Universiti, Norazlin Abd. Jalil dan Pengarah UUM Corporate Communication, H. Rasidah H. Rodzi.

 

Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
Sumber: UUM Corporate Comm.