PROJEK FINDER, STML UUM TEMBUSI TV SINGAPURA

on .

Projek Food Security, Innovation & Development Research Centre (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi Dan Logistik (STML) UUM terpilih oleh sebuah stesen televisyen di Singapura untuk dijadikan dokumentari. Penerbit Rancangan, Zarina Omar berkata, Seribu Daya, Bakti Petani yang berdurasi hampir 60 minit itu dijadikan dokumentari yang disiarkan di siaran Suria, MediaCorp Singapura selain boleh ditonton di alam maya.

“Dokumentari ini melibatkan pelbagai pihak antaranya universiti, rakan industri dan para peserta yang terdiri daripada penduduk kampung yang mengisahkan bagaimana tiga peserta berusaha meningkatkan ekonomi keluarga dalam sektor pertanian dan penternakan,” ujarnya.

Jelasnya, mereka ingin keluar daripada kelompok kemiskinan dengan menyertai projek ternakan hasil kerjasama STML untuk menjadi usahawan ternakan ayam kampung yang berjaya suatu hari nanti.

“Saya terpanggil untuk membuat pengambaran di sini kerana pihak MediaCorp Singapura mahu mengangkat kisah tentang semangat komuniti di kalangan masyarakat Malaysia dalam mencapai sesuatu matlamat yang ditetapkan sama ada dari aspek budaya, pertanian, kelestarian dan ekonomi.

“Pihak kami mencari, membuat kajian lalu terbaca artikel UUM Corporate Communication mengenai CSR yang dijalankan oleh STML di sebuah kampung. Idea asal projek ini daripada Pengarah FinDer itu sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail telah mencipta peluang dan ruang kepada masyarakat kampung komuniti B40 terlibat dalam keusahawanan ternakan ayam kampung ini.

“Di sini kita dapat melihat ikatan yang terbina atas dasar kasih sayang seperti sebuah keluarga, kisah penduduk yang kaya dengan semangat tolong menolong, muafakat dan masih bersatu-padu pada zaman yang cukup mencabar dan ini pada saya sangat menarik sukar ditemui di tempat lain,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Projek Ternakan Ayam Kampung Berkelompok, Dr. Mastora Mustafar kagum dengan semangat dan sikap positif para peserta yang gigih meneruskan usaha walaupun menghadapi banyak cabaran dan pengorbanan terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

“Tambahan pula dengan semangat kerjasama dalam pasukan FInDER, STML yang kuat turut memastikan projek ini berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Keusahawanan menyediakan peluang bagi golongan sasar untuk bekerja dengan  lebih fleksibel jadi kami turun padang menyantuni penduduk untuk membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka,” katanya.

 

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: FInDER, STML
Sumber: UUM Corporate Comm.