SBM SEMARAKKAN KEPEDULIAN HIJAU DAN KESIHATAN MENTAL

on .

Langkawi - Sempena Bengkel Pelan Tindakan Strategik 2021, seramai 21 staf Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menyertai program ‘SBM Green Environment & Good Mind Projects’, baru-baru ini di Pantai Kok sebagai tanda komited terhadap pemeliharaan alam sekitar yang bersih dan selamat. Dekan SBM, Prof. Dr. Salniza Md. Salleh berkata, program yang menggabungkan dua aktiviti serentak itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran peserta ke atas kepedulian untuk menjaga alam sekitar dan dalam masa yang sama menekankan aspek penjagaan kesihatan mental. 

Menurutnya, program bermula dengan aktiviti ‘plogging’ di sepanjang pantai berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan peserta telah diberikan peralatan termasuk pelitup muka serta diingatkan agar mematuhi aspek prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bersesuaian dengan keperluan menghadapi wabak Covid-19. 

“Program seumpama ini penting untuk menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat supaya lebih prihatin kepada kebersihan setempat. 

“Di samping itu, mental yang sihat juga penting kepada staf bagi membantu meningkatkan prestasi kerja yang lebih baik,” katanya.

Pada sesi kedua bertemakan ‘Good Mind: Mental therapy via wave energy’, peserta diberi ruang berehat di tepian pantai sambil mendengar alunan ombak yang lembut. 

Menurut Orfeu Buxton, pensyarah dalam bidang kesihatan ‘biobehavioral’ manusia dari University of Pennsylvania, Amerika Syarikat, “Bunyian yang tenang seperti deruan air dan ombak tidak memberi ancaman kepada manusia dan boleh menenangkan fikiran”.

Di akhir program ini, peserta telah berjaya mengumpul sebanyak lima beg plasti sampah mengandungi sisa buangan plastik dan kertas yang boleh dikitar semula.

 

Berita dan gambar oleh: SBM
Sumber: UUM Corporate Comm.