SINERGI CUIC DAN CeTMA USAHA PENCAPAIAN KPI UNIVERSITI

on .

Usaha menangani masalah alam sekitar tidak harus menjadi tanggungjawab sebelah pihak semata-mata tetapi ia perlu didokong bersama oleh semua warga universiti tanpa mengira latar belakang. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar di UUM khususnya dilaksanakan dalam konteks pembangunan lestari melibatkan pembangunan ekonomi, sosial dan perlindungan alam sekitar. Menurutnya, pembangunan lestari tidak dapat dicapai sekiranya salah satunya tidak bergerak bersama dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

"Pemuliharaan alam sekitar merupakan usaha yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan sokongan bersama semua pihak.  Kerjasama CUIC dan CeTMA ini boleh dijadikan langkah pemula bagi segala aktiviti kelestarian alam sekitar yang berimpak tinggi bagi agenda kelestarian alam sekitar,” katanya pada Pelancaran Program Indah di Hati, Endah di Bumi bersempena ‘Earth Day’ yang bakal disambut seluruh dunia pada 22 April ini.

Sementara itu, Pengarah CUIC, Dr. Shahrina Othman berkata, program yang diatur merupakan kerjasama strategik antara Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) selaku sekretariat utama Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar Universiti. 

Menurutnya, aktiviti tersebut adalah salah satu pengisian bagi Lawatan Kerja Program Kampusku Lestari Siri ke-9 baru-baru ini. Pelbagai program dan aktiviti telah diatur oleh kedua-dua Jabatan dalam usaha pencapaian Pelan Strategik Teras 3 ini antaranya Plogging Day bersama Trash Hero World,  Program Pokok Angkat, Sudut 3R dan lain-lain bersempena dengan Earth Day pada 22 April ini.

Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat berkata, “Usaha ini adalah satu sinergi yang baik antara pihak CUIC dan CeTMA serta mengharapkan kerjasama yang serupa dengan Jabatan lain kerana usaha penjagaan alam sekitar adalah usaha secara bersama-sama, bukan sendirian.

“CeTMA turut bersama-sama mengambil inisiatif ini turut merancang Green Month dalam usaha menggiatkan usaha program In Living Campus yang merupakan trademark CeTMA.

“Antara program berimpak tinggi yang bakal muncul di kampus tidak lama lagi adalah program Towards Zero-Waste Campus yang mana inisiatif itu merupakan satu langkah penting dalam mendokong agenda kampus hijau dan lestari yang bersifat komprehensif di masa akan datang,” katanya.

Bulan ini juga bakal menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan E-Idaman Sdn Bhd. selaku rakan industri dalam menjayakan agenda kelestarian kampus. 

Hadir sama, Ketua PTJ dan wakil Ketua PTJ di Pusat Konvensyen, pegawai-pegawai kanan Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) serta petugas UPSB.

 

Oleh: Azlina Yahaman
Gambar oleh: CUIC/CeTMA
Sumber: UUM Corporate Comm.