BERGERAK SEDERAP MENGINDAHKAN KAMPUS LESTARI

on .

Program Kampusku Lestari UUM Lestari 2021 mensasarkan untuk memberi keselesaan dan keceriaan kepada warga kampus,  di samping melahirkan komuniti yang pandai menjaga persekitaran yang bersih dan kondusif. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, usaha ini suatu inisiatif yang digerakkan bersama dengan seluruh warga kampus untuk menghijaukan lagi kampus dan memastikan prasarana yang ada dalam kampus dapat digunakan dengan baik.

Pada asasnya, menurutnya, sebagai universiti yang sudah lama ditubuhkan sudah pasti banyak prasarana yang telah dimamah usia, justeru menerusi aktiviti ini dapat membantu mengenal pasti peralatan atau prasarana lama atau usang tetapi masih berfungsi dengan baik.

Katanya, kerosakan kecil harus segera dibaiki agar tidak menjadi lebih teruk yang akhirnya memerlukan kos penyelengaraan yang tinggi.

“Sasaran daripada program ini kita ingin memberikan keselesaan kepada seluruh warga kampus supaya mereka dapat merasakan bahawa mereka berada di institusi di sebuah universiti yang benar-benar menzahirkan apa yang dikatakan sebagai universiti pengurusan.

“Jadi, segala aspek bukan sahaja dari segi kecemerlangan akademik tetapi juga kecemerlangan pengurusan universiti itu sendiri dalam konteks prasarana kehijauan kampus juga harus diberi keutamaan,” katanya.

Beliau optimis komitmen UPSB, syarikat yang bertanggungjawab menjaga kebersihan, JPP dan semua PTJ akan bergerak sederap untuk memastikan sasaran untuk menghijaukan kampus dapat direalisasikan.

“Alhamdulillah saya sudah turun hampir ke seluruh kampus untuk melihat sendiri dan pastinya banyak yang telah kita temui untuk tujuan penambahbaikan.

"Saya mengambil pendekatan positif di mana saya mengajak semua ketua PTJ dan semua yang terlibat UPSB, JPP, UUMIT termasuk yang terlibat secara langsung untuk bergerak bersama kerana dalam usaha untuk mencantikkan kampus ini memerlukan kerjasama berpasukan,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan siri lawatan ke semua pusat pengajian, pusat tanggungjawab, Inapan Siswa (INASIS) dan premis di dalam universiti sejak 21 Mac  lalu yang turut disertai JPP, UUMIT dan UPSB yang terlibat secara langsung dalam penyelenggaraan infrastruktur di UUM.

Lawatan yang memberi fokus terhadap aspek kebersihan, kebolehgunaan peralatan dan keceriaan persekitaran itu bermula di inapan siswa, pusat-pusat pengajian, dewan-dewan kuliah dan pusat-pusat tanggungjawab.

 

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Abdul Halim Husain
Sumber: UUM Corporate Comm.