CUIC - TRASH HERO PRIHATIN JAGA ALAM DI PULAU TUBA

on .

Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dan Mahasiswa UUM menimba pengalaman menarik apabila turun padang bersama-sama penduduk setempat bergotong-royong di Pulau Tuba, Langkawi, baru-baru ini. Pengarah CUIC, Dr. Shahrina Othman berkata,  usaha ini adalah kerjasama CUIC, sukarelawan Trash Hero Langkawi serta Trash Hero Sintok sebagai inisiatif khidmat masyarakat dengan mengutip sampah sarap sepanjang pantai dan jalan yang dilalui yang merupakan tumpuan pengunjung. “Kita perlu bersahabat dengan alam dan setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan alam, apabila gotong-royong ini dilakukan secara bersama impaknya lebih besar.

“Justeru, hari ini kita melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama peneraju utama iaitu Trash Hero Langkawi yang bernaung di bawah Trash Hero World. Dalam tempoh 20 minit, aktiviti sukarela itu berjaya mengumpul 75 kilogram sampah yang dibuang di sekitar kawasan tersebut,” ujarnya. 

Tambahnya, Plogging Day With Trash Hero itu dijalankan dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rangkaian Covid-19.

Sementara itu, Pengasas Trash Hero Langkawi, Ulrika Player berkata, Trash Hero merupakan organisasi yang ditubuhkan untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar.

“Trash Hero bukan sahaja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan pantai, tetapi juga terlibat dalam memberi ceramah kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga alam sekitar,” kongsinya.

Pencinta alam yang berasal dari Sweden ini telah melakukan pembersihan di sekitar Langkawi lebih 5 tahun lalu yang melibatkan kira-kira 300 operasi pembersihan.

Peserta yang juga Pembantu Penyelidik CUIC, Nursyafinaz Shahidan mengakui pendidikan di peringkat awal amat penting bagi mendedahkan generasi muda tentang peranan dan tanggungjawab terhadap alam.

Teruja dapat mengenali Trash Hero dengan lebih dekat yang banyak memberi input dan tips berguna misalnya tidak membuang sampah sesuka hati serta kesan buruk yang bakal diterima akibat daripada pencemaran yang dilakukan.

Manakala pelajar Sarjana Muda Kerja Sosial, Vickeneswari Nafan menyifatkan program ini berjaya menyuntik kesedaran untuk menghargai dan melindungi alam sekitar dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda yang akan menyambung warisan kelak.

“Tindakan utama yang perlu diambil oleh setiap orang, katakan tidak pada penggunaan plastik dan straw. Jadi amat penting bagi kita membawa bekas makanan sendiri ketika ingin membeli makanan dan minuman demi menyelamatkan hidupan laut dan bumi.

“Aktiviti hari ini menyedarkan kami tentang bahayanya penggunaan straw dan   kesannya kepada alam sekitar. Kami sangat bersemangat untuk melakukan perubahan dalam diri dan juga berharap lebih ramai lagi masyarakat yang mempunyai kesedaran yang sama.

“Inilah masanya kami memulangkan sesuatu kepada komuniti semoga program ini memberi dorongan kepada orang lain agar prihatin terhadap alam di samping bersama-sama menjaga alam sekitar sepertimana kita menjaga rumah sendiri,” ujarnya.                                                                                                                                                              

Turut hadir dalam aktiviti ini adalah Ketua Pembangunan Modal Insan, CUIC, Dr. Fikriyah Abdullah selaku penyelaras program ini.

 

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: CUIC
Sumber: UUM Corporate Comm.