UUM METERAI KERJASAMA DENGAN E-IDAMAN REALISASI HASRAT 'KAMPUS LESTARI'

on .

Ke arah menjadi 'Kampus Lestari', Universiti Utara Malaysia menjalinkan hubungan strategik dengan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di Bilik Senat, semalam. UUM telah diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, manakala E-Idaman Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Zaki Abdul Aziz Daud. Dalam ucapan Prof. Dr. Haim Hilman berkata, pemeteraian MoU antara UUM dengan E-Idaman adalah satu titik permulaan kepada usaha bersama dan usaha bersepadu untuk mengangkat agenda 'Living Campus'.

Menurutnya, UUM ingin menjadi contoh kepada seluruh negara dalam aspek komitmen kelestarian alam sekitar. Menjadi rakan strategik kepada E-Idaman adalah salah satu bukti akan seriusnya universiti ini dalam usaha mewariskan sesuatu yang baik akan universiti ini khususnya dan negara ini amnya kepada generasi akan datang.

Katanya, perkara yang harus diberikan penekanan dalam konteks ini iaitu pembinaan kapasiti yang bertunjangkan kepada tiga aspek iaitu sumber manusia, proses dan prestasi.

"Pertama, pembinaan kapasiti. Secara khususnya pembangunan sumber manusia, kita melahirkan pemimpin masa hadapan. Setiap tahun dianggarkan seramai 5,000 graduan yang akan memasuki bidang pekerjaan, sudah pasti mereka mampu memainkan peranan penting aspek penjagaan alam sekitar. Malahan apabila mereka memegang jawatan penting dalam organisasi berkaitan,  mereka boleh memperkenalkan dasar-dasar baharu yang pro kepada penjagaan alam sekitar. Ini akan melonjakkan nama baik UUM dan E-Idaman dalam memacu agenda kelestarian alam sekitar negara.

"Kedua, pembangunan proses pengurusan. Secara khusus dalam  aspek meningkatkan kecekapan proses kerja berkaitan sisa pepejal dan penjagaan alam sekitar. Kita harus mengambil pendekatan sistematik dan mempunyai kaedah atau sistem yang betul, konsisten dan kompetitif. Sekiranya ini berlaku, sudah pasti kita akan dapat melihat konsep 'living campus' atau universiti, negeri dan negara dapat direalisasikan.

"Ketiga, penekanan terhadap kepentingan mengukur prestasi secara konsisten. Pengukuran prestasi yang betul mampu memberi panduan yang tepat tentang bagaimana sesebuah organisasi harus bergerak dan berperanan. Segala langkah penambahbaikan atau pengukuhan dapat dikenalpasti dan diambil berpandukan kepada prestasi," katanya.

Di samping itu, Prof. Dr. Haim Hilman turut memperkenalkan konsep 'behaviorial insights' yang mana konsep ini harus dibawa dalam kerangka gerak kerja di antara UUM dan E-Idaman dalam mendidik anak bangsa dan masyarakat yang mana konsep itu boleh membantu dalam usaha memberi penekanan kepada aspek pentingnya masyarakat mengambil tangungjawab secara bersungguh-sungguh dalam penjagaan kebersihan dan alam sekitar.

Katanya, mereka harus melihat usaha ke arah pendidikan dan penambahbaikan pengurusan alam sekitar dan sisa pepejal ini sebagai sangat penting.

Tambah beliau, UUM dan E-Idaman harus bersama dan bekerja sebagai satu pasukan dan membuktikan dua institusi ini sangat peka tentang keperluan mengatur dan mengurus alam sekitar dan akhirnya berjaya menjadi kebanggaan semua.

Menurutnya, usaha yang dirancang itu tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat, justeru memerlukan perancangan menyeluruh dan bersepadu, malah beliau yakin kepakaran E-Idaman dalam pengurusan sisa buangan berkaitan alam sekitar jika disatukan dengan kepakaran UUM sudah pasti mampu menghasilkan model pengurusan dan penjagaan alam sekitar yang terbaik.

"Saya mahu seluruh negeri Kedah dan negara merasai sentuhan UUM dan sentuhan ini menjadi sentuhan emas sekiranya kita mempunyai rakan sehebat E-Idaman. Marilah kita bersama-sama bekerja dan memanfaatkan sumber manusia dan kepakaran yang kita ada. Bagaimana pun, kita perlu titik beratkan aspek mendidik sikap masyarakat. Di situlah 'capasity building' sebenar dan setiap kejayaan atau usaha bergantung kepada sikap masyarakat itu sendiri.

"Saya juga mahu generasi pada masa hadapan akan berterima kasih kepada kita yang telah mewariskan sebuah universiti, negeri dan negara yang hebat iaitu dengan hala tuju yang jelas, sistem yang cukup teratur dan maju yang mana mereka bangga menyatakan 'Kami Rakyat Malaysia!," katanya.

Sementara itu, Zaki Abdul Aziz berkata, E-Idaman berbesar hati dan berbangga menjadi sebahagian daripada usaha berterusan UUM untuk mewujudkan dan menambah nilai kerjasama universiti dan industri dalam memperkasakan lagi penyelidikan dan inovasi yang mendokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Menurutnya, selaras dengan visi E-Idaman, 'Preserving Our Environment' sudah semestinya kerjasama antara UUM membolehkan penjenamaan syarikat yang menjadikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagai teras utama dalam perkhidmatan selain daripada pelbagai program dan kempen kesedaran ke arah pembangunan mampan.

Katanya, keseimbangan akademik dan pembangunan mapan di pusat pusat pengajian tinggi seharusnya diberi penekanan dalam kalangan pelajar, justeru kerjasama antara E-Idaman dan UUM itu akan dapat melahirkan graduan yang komited dalam menyokong agenda SDGs.

"Antara universiti terkemuka di dunia yang menyokong agenda ini adalah seperti University College Cork di Republic of Ireland, Newcastle University dan University of Dundee di United Kingdom yang telah mengadakan program Kampus Hijau atau ‘Green Campus’ untuk meningkatkan kemudahan kitar semula dan menyelesaikan masalah pengurusan sampah di sekitar kawasan universiti.

"Dengan termeterainya MoU ini juga diharapkan dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pemacu utama agenda universiti antaranya agenda pengurusan sisa dan ‘living campus' untuk seluruh warga UUM.

"Pada masa sama, saya berharap dari sokongan dana tambahan ini dapat membawa kepada penyelesaian yang lebih praktikal dan komprehensif serta memberi manfaat pada masa akan datang kepada E-Idaman dan UUM dengan berlandaskan kajian dan penyelidikan yang kukuh dan terbaik," katanya yang turut menyatakan komitmen E-Idaman dalam membantu warga UUM untuk mewujudkan 'zero waste campus' dan mempraktikkan amalan kitar semula dan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan mampan.

Hadir sama, Pengarah, Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat.

Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Abdul Halim Husain
Sumber: UUM Corporate Comm.