PENTING KESIHATAN AWAM NEGARA SEBAGAI TONGGAK KEUTUHAN MALAYSIA

on .

Umum mengetahui Malaysia semakin menghampiri sasaran imuniti berkelompok setelah perlaksanaan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan. Namun, pelbagai persepsi berlegar di minda berkaitan varian baru virus COVID-19 ditokoktambah dengan keengganan sesetengah pihak untuk menerima vaksinasi  bagi mencegah penularan wabak tersebut. Bahkan keadaan turut mengamit isu kesihatan mental, gejala membunuh diri  yang kian melonjak dalam komuniti tatkala mengharungi situasi   yang mencabar di seluruh dunia.

Dalam konteks ini, persoalan berkaitan bagaimana kesihatan awam negara dapat menjadi tonggak keutuhan Malaysia telah menarik perhatian umum bahkan menjadi  satu titiktolak demi keselamatan  dan kesejahteraan semua pihak.

Menyedari hakikat pentingnya kesihatan  awam diutamakan,  Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (UUM SELECT) Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui program Select Talk  bersama Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr. Muhammad Shauqi Hj Abdul Kadir membuka platform pencerahan dalam usaha meningkatkan keprihatinan  dalam kalangan komuniti.

Select Talk  yang dikendalikan pelajar Sarjana Muda Perakaunan,  Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA) Sarah Kamarun Nisham  bersempena Hari Malaysia bertepatan dengan situasi penting dalam kemelut menangkis Covid19  di Malaysia telah mengutarakan pelbagai  sentimen negatif dan positif yang berlaku hari ini untuk dikupas oleh Pengarah Hospital Kuala Nerang.

Dr. Muhammad berkata ketika diajukan aspek tersebut, "kesihatan awam  menjadi tonggak keutuhan negara  malahan memerangi Covid19 diumpamakan bagai peperangan bagi seluruh rakyat Malaysia. Jika dahulu peperangan menentang musuh yang nyata, pada masa sekarang peperangan yang dihadapi berbentuk wabak COVID-19."

" Penting bagi seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memerangi wabak  yang  mengancam nyawa kita".

"Walaupun petugas kesihatan merupakan barisan hadapan negara tetapi seluruh rakyat Malaysia merupakan barisan hadapan bagi diri sendiri dan ahli keluarga" tambah beliau.

"Kemenangan yang diidamkan oleh seluruh rakyat boleh direalisasikan jika kita bersatu dalam menyokong program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan".

Seterusnya beliau  menegaskan  mengenai kepentingan vaksinasi yang diketahui lebih banyak faedah daripada mudarat. Vaksinasi bagi mereka yang tiada halangan kesihatan akan membantu menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga ahli keluarga dan mereka yang mempunyai komplikasi kesihatan.

Selain itu,  impak yang dihadapi akibat COVID-19 terutamanya  terhadap kesihatan mental perlu menggariskan kepentingan mengenal pasti masalah yang dilalui serta mencari saluran komunikasi yang bersesuaian bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Kesihatan awam  amat penting dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak. Justeru, dengan pencerahan yang diberikan oleh  Pengarah Hospital Kuala Nerang dapat dimanfaatkan bersama untuk Malaysia tercinta.

Senada itu,. Select talk turut mengenengahkan peluang dan pengalaman bagi pelajar  dalam merealisasikan  strategi Select  melalui Media  Appearance Project ( M.A.P).