LIGHTWEIGHT PADDY WEEDER

on .

Utusan Malaysia: 11 Ogos 2014: Pasukan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) yang menyertai Innovation And Invention Competition Through Exhibition 2014 (iCompEx’14) tampil cemerlang apabila berjaya membawa pulang dua anugerah terbaik kategori reka bentuk alam bina dan alam sekitar dan tenaga.

Kejayaan itu bukan sahaja memartabatkan nama Polimas di pertandingan tersebut, malah menaikkan nama Politeknik Malaysia dalam bidang inovasi di negara ini.

polimas

Penganjuran inovasi peringkat kebangsaan kali kedua itu melibatkan penyertaan 650 kumpulan dari pelbagai institusi pengajian tinggi, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Lebih daripada 128 institusi termasuk universiti, kolej universiti, politeknik, kolej komuniti, institut pendidikan guru, kolej vokasional, pusat-pusat latihan, institut latihan perindustrian, institusi kemahiran, sekolah berasrama penuh, sekolah harian, jabatan kerajaan, syarikat dan individu telah menyertai pertandingan itu.

Sebanyak 584 produk dipertandingkan dengan menawarkan 175 pingat emas, 196 pingat perak dan 213 pingat gangsa.

Polimas telah memperoleh pingat terbanyak iaitu 26 pingat emas, 52 pingat perak dan 96 pingat gangsa. Produk One Malaysia Art Centre Polimas berjaya menerima anugerah terbaik kategori reka bentuk alam bina dan produk Paper Collecting Machine telah menerima anugerah terbaik kategori alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui.

Kategori mesin, peralatan dan proses pengilangan telah dimenangi oleh produk Green Tech High Capacity Bin dari Politeknik Melaka.

Majlis penyampaian anugerah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Norsabrina Mohd Noor yang mewakili Menteri Besar Negeri Kedah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Pengajian Politeknik, Shabudin Man, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Politeknik, Dr. Abdul Rahim Ahmad dan Pengarah Polimas, Asmara Sulong.

Dengan kejayaan itu, baru-baru ini Polimas turut mendapat pingat emas Dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2014 (ITEX’14) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur melalui produk Lightweight Paddy Weeder melalui kerjasama pembiayaan dari Universiti Utara Malaysia.

weeder

Manakala bagi Pertandingan Malaysia Technology Expo 2014 (MTE 2014) yang diadakan pada 20 Februari lalu, Polimas telah berjaya memperoleh pingat perak melalui produk Solar Grass Cutter dan gangsa melalui produk System for Ploughing, Harrowing and Raising Bed for Plantation.

Polimas turut menghantar tiga produk menyertai International Engineering Invention and Innovation Exhibition 2014 (i-ENVEX 2014) di Universiti Malaysia Perlis pada 11 hingga 13 April lalu.

Produk Vacuum Forming Prototype Machine telah berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas iaitu Special Award of World Invention Intellectual Property Association (WIIPA).

Dua produk lagi iaitu Kemasan Lantai Komposit Bilah Buluh dan Biker Auto Lock telah memperolehi pingat gangsa. Pertandingan Kreativiti dan Teknologi Inovasi (CITEC) yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur turut disertai oleh dua produk Polimas iaitu Robot Line Follower dan Can Crusher Machine.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kampus/20140811/ka_04/Polimas-cemerlang#ixzz3fpZoNMba 
© Utusan Melayu (M) Bhd