UUM FORBID THE USE OF POLYSTYRENE

on .

ALOR STAR Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengharamkan penggunaan bekas makanan polisterina dalam kampus universiti itu bermula Julai ini melalui program kesedaran menjaga alam sekitar yang bakal dijalankan.Kempen yang dinamakan Kempen Mesra Eko (EFC) bertemakan Hidup Dalam Harmoni itu bertujuan memberi kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar di kalangan komuniti kampus, terutamanya pelajar dan kakitangan.

Pengarah Jabatan Canselori UUM, Mohd. Zaini Nasri berkata, bagi menjayakan kempen itu semua pengusaha makanan diminta tidak menggunakan bekas polisterina dalam aktiviti penjualan makanan mereka.

Sebagai alternatif katanya, pelanggan diminta untuk makan di kafeteria dengan menggunakan pinggan yang disediakan oleh peniaga.

"Mereka juga boleh membawa sendiri bekas makanan sendiri atau membeli bekas makanan Eco-Pack yang akan dijual untuk dibawa pulang dengan harga 20 sen sahaja.

"Melalui kempen ini, kami berharap dapat menghapuskan penggunaan beg plastik dan warga kampus hanya dibenar menggunakan beg kertas, beg tenunan atau beg kanvas yang akan dijual di Koperasi UUM," ujarnya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Namun katanya, aktiviti penggunaan beg itu akan dilaksanakan secara berperingkat selepas penguatkuasaan penghapusan penggunaan polisterina.

Jelasnya, langkah penganjuran kempen itu adalah yang pertama di negeri ini selepas ia dimulakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dan UUM sebagai sahabat akrab USM turut bertanggungjawab mengikuti langkah ini.

"Penggunaan bekas polisterina secara berterusan akan menyebabkan pengguna terdedah pada kesan toksik.

"Bahan kimia yang terdapat dalam bekas tersebut boleh menyebabkan pengguna menghidap penyakit kanser," katanya.

Tambahnya, bekas polisterina juga mempunyai impak yang besar terhadap alam sekitar kerana ia memerlukan masa sehingga 500 tahun untuk mereput.

"Ia juga memerlukan jumlah tenaga yang tinggi untuk memusnahkannya dan kadar penggunaan tenaga yang tinggi akan menambahkan kesan terhadap rumah hijau," jelasnya.

Zaini berkata, pelbagai program lain turut dilaksanakan seperti pameran, pertandingan mencipta produk mesra alam, projek kitar semula dan pertandingan melukis.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_06.htm#ixzz3hGTAdfcw
© Utusan Melayu (M) Bhd